KUALA TERENGGANU – Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu berikrar berdiri teguh di belakang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Mohd Johari Abu Bakar berkata untuk memperkukuh dan mengembalikan kegemilangan UMNO negeri, Pemuda UMNO harus memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan parti.
“Sekarang kami mahu bekerja keras dan mengikut apa saja yang diarahkan oleh ketua kami.
“Kami Pemuda UMNO Terenganu berdiri teguh di belakang Datuk Seri walau apapun terjadi kerana kami ingin memastikan UMNO/Barisan Nasional (BN) Terengganu cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Santai Pemuda UMNO Terengganu bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, di sini malam tadi.
Mohd Johari berkata, pada PRU-14 nanti terdapat kira-kira lima juta pengundi baharu di seluruh negara yang akan keluar mengundi.
“Sehubungan itu kami sekarang akan menumpukan kepada pengundi baharu dan melancarkan kempen keahlian dan daftar pemilih Pemuda UMNO di seluruh negeri,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan membantu Pemuda bagi menjalankan pelbagai aktiviti terutama dalam usaha memperkuatkan parti, bersam Pergerakan Wanita dan Puter UMNO juga.
Ahmad berharap, ketiga-tiga sayap parti itu bersatu tenaga dan berusaha bersungguh-sungguh bagi memenangi kembali kerusi yang terlepas kepada pembangkang dan mempertahankan kerusi yang ada.
Pada PRU-13, UMNO/BN negeri hampir kecundang apabila hanya memenangi 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menang empat kerusi Parlimen, sama banyak dengan pembangkang. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment