KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah mencapai matlamat penubuhannya dan perlu diteruskan demi pembangunan jati diri generasi muda, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata ia berlandaskan kaji selidik oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menunjukkan lebih 85 peratus daripada 60,000 responden yakin PLKN berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Kajian meliputi pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak pada 2009 itu juga menyimpulkan modul kesukarelaan dan kecergasan menepati matlamat PLKN dalam menyediakan golongan muda yang cergas dan sedia menumpahkan khidmat mereka untuk negara, katanya menjawab pertanyaan Senator Zaiton Mat Amin.
Zaiton ingin tahu sejauh mana PLKN berkesan khususnya dalam meningkatkan semangat patriotisme generasi muda.
Abdul Rahim berkata bagi memastikan kurikulum PLKN kekal relevan dan berkesan dalam mencapai matlamatnya, kementerian melalui Jabatan Latihan Khidmat Negara akan terus mengekalkan empat modul teras, iaitu pembinaan karektor, kenegaraan, khidmat komuniti dan fizikal, malah telah ditambah baik dengan menekankan semangat patriotisme dan volunterisme.
Sejak diperkenalkan pada 2004 hingga akhir 2013, sebanyak 752,643 pelatih dilatih melalui program ini dengan anggaran kos antara RM550 hingga RM650 juta setahun, katanya. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment