Sebuah kedai tayar dan servis membaiki kereta di Jalan Beserah di Kuantan musnah dalam kebakaran malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Wan Mohd Nazlis Wan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan orang awam yang memaklumkan perkara itu pada 10.07 malam.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke stesen minyak dan lot kedai yang bersebelahan kedai tayar berkenaan.
"Empat jentera dengan kekuatan 32 anggota dari tiga Balai Bomba di Kuantan, Taman Tas dan Indera Mahkota dihantar ke tempat kejadian. Punca kejadian masih disiasat," katanya.
Sementara itu, pemilik kedai itu Yap Yun Hock, 60-an, berkata beliau mendapat panggilan mengenai kebakaran itu daripada seorang pekerjanya pada 10 malam.
Katanya, kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan lebih RM1 juta. – Bernama, 1 Mei, 2014.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment