Seramai 8 penjelajah Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Felda Greenland 2014 memulakan langkah pertama merentasi Greenland menggunakan laluan Ammasalik ke Sondre Stromfjord (Kangelussuaq) sejauh 550 kilometer secara rasmi bermula pagi tadi.
Pasukan itu tiba ke pulau berkenaan dua hari lalu sebelum melakukan persediaan terakhir seperti memastikan bekalan makanan dan barangan adalah mencukupi.
Ketua KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin berkata, 8 hari pertama perjalanan bermula adalah yang paling mencabar bakal ditempuh perserta.
“Ini kerana, mereka akan berhadapan dengan bentuk muka bumi berbukti dan bergunung-ganang, selepas itu laluan akan mula mudah sedikit sebelum kembali menjadi sukar dalam beberapa hari terakhir,” katanya ketika ditemui di Reykjavik, Iceland hari ini.
Misi yang dijadualkan akan berlangsung dari 25 April hingga 20 Mei ini melibatkan lapan peserta iaitu Yanizam Mohd Supiah selaku Ketua Penjelajah, Abdul Rahman Abu Hassan (Penolong Ketua Penjelajah), Tahira Najmunisaa Mohd Zaid, Mohd Akasyah Jamaludin, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, Shaiful Hisham Abd Aziz, Muhammad Musaddiq Samsudin dan Muhd Hafizuddin Abdul Muthalib.
Sebelum ini, pasukan tersebut telah beberapa kali berlatih untuk menghadapi cabaran cuaca sejuk melampau antaranya di Snow Walk, i-City, Shah Alam dan Gunung Aspiring, Pergunungan Franz Joseff Glasier, New Zealand.
Tujuan misi adalah untuk membuktikan rakyat Malaysia juga mampu berdepan cabaran selain menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu melihat anak-anak muda Malaysia terus melakar pelbagai kejayaan cemerlang demi menaikkan imej negara di mata dunia di samping turut menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Ekspedisi yang dijangka memakan masa selama 28 hingga ke 35 hari itu merupakan program berbentuk kembara kelima yang dianjurkan oleh Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B).
Sebelum ini, KE7B pernah menganjurkan Ekspedisi Berbasikal dan Bermotosikal ke 21 buah negara, Ekspedisi 7 Summits 2010-2014, Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012 dan Ekspedisi Everest Felda 2013.
Menurut Muqharabbin, peserta telah dilatih untuk menghadapi pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku dan antaranya cabaran hebat yang perlu dihadapi ialah cuaca sejuk melampau selain serangan beruang kutub.
Walaupun terpaksa ditangguhkan sehari lewat daripada jadual asal berikutan ais mencair di lapangan terbang di Greeland yang manghalang pendaratan kapal terbang dari Iceland, namun Muqharabbin yakin ekspedisi berkenaan akan berjalan seperti yang dirancang.
Beliau juga melahirkan rasa bangga kerana para penjelajah memperlihatkan semangat dan motivasi diri yang begitu tinggi untuk menjayakan eksepdisi berkenaan.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment