Tertuduh bakal bebas kerana sudah berada dalam tahanan sejak tarikh kejadian. |
KOTA BHARU - Seorang penganggur bernasib baik dikenakan hukuman penjara ringan, 40 hari walaupun mengaku salah mengacukan pisau kepada abang kandung sendiri, Mac lalu.
Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad selepas mempertimbangkan dan memberi penghormatan terhadap rayuan ibu tertuduh yang sudah tua serta hadir ke mahkamah bagi membela anaknya itu.
Tertuduh, Muhammad Ariff Yusof, 24, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacu pisau ke arah Nik Mohd Affrndi, 34, dengan niat hendak mendatang ketakutan kepada mangsa di sebuah rumah di alamat Jalan Masjid Kampung Baung Bayam, di sini, pada jam 1 pagi, 25 Mac.
Pada prosiding semalam, ibu tertuduh merayu mahkamah supaya anaknya itu dibebaskan dan mengakui tertuduh anak yang boleh diharapkan.
“Dia anak yang baik. Kesiankanlah makcik, makcik tidak lalu makan dan sakit apabila dia (tertuduh) tiada (di rumah). Kesalahan ini yang pertama dan makcik percaya dia boleh berubah,” katanya.
Rayuan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri berikutan ia bercanggah dengan penyataan yang diberi kepada polis sebelum ini.
“Berdasarkan fakta, kamu (ibu) yang mengadu supaya mangsa (abang tertuduh) datang mengambil kamu di rumah kerana tidak tahan kerenah tertuduh yang sering meminta wang.
“Hari ini (semalam) lain pula ceritanya. Saya mohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tidak mahu kasih sayang seorang ibu akan memusnahkan anaknya sendiri,” katanya.
Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan itu ketika sedang di bawah pengaruh dadah.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment