JASIN – Hasrat seorang pemuda mahu memadam kebakaran di kebun kelapa sawit miliknya di Kampung Paya Tanjung, dekat sini terbantut apabila dia hampir terpijak seekor ular sawa sepanjang kira-kira 8 meter, petang kelmarin.
Reduan Ahmad, 44, berkata, lelaki yang dikenali sebagai Ijoi memaklumkan kepadanya bahawa dia tidak menyangka benda yang bergerak-gerak di sebelah kakinya itu rupa-rupanya seekor ular sawa seberat 120 kilogram.
Menurutnya, dia bersama seorang lagi rakannya ke lokasi berkenaan dan berusaha menarik ular sawa ke tempat lebih selamat kerana bimbang reptilia itu melarikan diri, sebelum menghubungi bomba dan penyelamat.
“Reptilia itu berada di kawasan kebun getah kerana ingin menyelamatkan diri dari kebakaran di kebun kepala sawit berhampiran.
“Belum pernah kami melihat ular sebesar itu sehingga kami terpaksa menggunakan enam orang untuk menarik dan mengikat reptilia itu sementara menunggu pihak bomba datang,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Pegawai Operasi yang juga Pegawai Kanan Bomba II Balai Bomba Merlimau, Yahya Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 7.22 petang sebelum dua orang anggota bomba menaiki pacuan empat roda bergegas ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan saiz reptilia itu sangat besar, sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota terpaksa dikerah ke tempat kejadian dan berjaya menjinak serta menangkap ular sawa tersebut dalam tempoh 10 minit.
“Ketika operasi dilakukan reptilia itu tidak terlalu agresif dan tiada masalah untuk pihak kami menangkapnya dan akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan atau Zoo Melaka dalam masa terdekat ini,” katanya. - Sinar Harian Online
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment