ARAU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan lapan kenderaan membawa pelancong dari Thailand kerana tidak mempunyai permit daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam operasi di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam sejak 24 April lepas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata operasi itu dilaksanakan bagi membendung kegiatan pengusaha van atau kenderaan pelancongan asing yang membawa pelancong dari Thailand ke beberapa destinasi pelancongan di negara ini.
“Tindakan ini diambil berikutan aduan oleh pengusaha teksi dan kenderaan pelancongan di Bukit Kayu Hitam mendakwa kegiatan van negara jiran membawa terus pelancong dari negara itu sehingga ke Kuala Lumpur telah menjejaskan pendapatan mereka.
JPJ menempatkan menempatkan secara tetap penguatkuasa di setiap pintu sempadan Malaysia-Thailand untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap kenderaan asing yang membawa pelancong tanpa permit sah,” kata Ismail dalam sidang akhbar pada program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di sini, hari ini.
Beliau berkata kenderaan asing berkenaan turut dikenakan saman RM300 serta-merta dan diarahkan berpatah balik ke Thailand.
Pada peringkat permulaan JPJ menempatkan penguatkuasanya secara tetap di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam sebelum diperluaskan kesemua pintu sempadan di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan dalam masa terdekat, katanya.
Dalam perkembangan lain Ismail berkata sejak SKSJ dilancarkan pada 2009, sejumlah 63,499 orang berjaya memiliki lesen memandu percubaan (P) Kelas B2 dan dari jumlah itu seramai 1,729 adalah penduduk Perlis, tambahnya.
Sementara dalam program SKSJ hari ini yang masuk hari keenam diadakan di Perlis membolehkan sejumlah 260 orang menerima lesen selepas menyertai kursus, latihan dan ujian yang diadakan selama tiga bulan sejak 20 Januari lepas, kata Ismail. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment