PUTRAJAYA – Kestabilan di Laut China Selatan akan menjadi satu daripada keutamaan Malaysia apabila ia mengambil alih peranan sebagai pengerusi Asean tahun depan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai kepentingan yang jelas untuk memastikan Laut China Selatan, ekoran kewujudan tuntutan bertindih ke atas wilayah dan kawasan maritim sering menjadi punca ketegangan, adalah sejahtera, stabil dan selamat.
Kepentingan itu turut dikongsi negara anggota Asean dan negara jiran, katanya dalam taklimat media di sini pada Jumaat menjelang ketibaan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama esok bagi lawatan sulung beliau ke Malaysia.
Berhubung isu Laut China Selatan, Anifah berkata adalah penting bagi China dan Amerika Syarikat memainkan peranan positif di rantau Asia Tenggara.
“Ini bukan soal memihak kepada mana-mana pihak kerana rantau ini memerlukan kedua-dua negara,” katanya dan menurutnya persoalan sebenar adalah bagaimana untuk mengendalikan hubungan berbeza bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kesejahteraan.
Beliau berkata nasib Asean dan China saling berkait dan bahawa kesejateraan untuk satu negara juga merupakan kesejahteraan untuk satu lagi negara.
“Oleh itu kami yakin kami dapat mencari penyelesaian yang sesuai untuk semua pihak,” katanya. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment