GEORGETOWN – Sebuah stor asrama anak yatim lelaki di Wisma Yatim Islam Air Itam di sini musnah dijilat api hari ini.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Timur Laut Ismail Mohd Zain berkata kejadian pukul 11.15 pagi itu disedari empat penghuni asrama yang terletak di atas bangunan stor berkenaan.
“Seorang daripada penghuni di rumah anak yatim itu tercium bau asap dan mendengar letupan kecil dari aras bawah menyebabkan mereka segera keluar dari bangunan itu dan meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata bahagian atas bangunan dua tingkat itu dijadikan asrama manakala tingkat bawah pula stor menyimpan bekalan makanan, tilam dan pakaian.
Asrama berkenaan menempatkan 30 penghuni dengan 26 orang bersekolah sesi pagi dan selebihnya sesi petang.
Ismail berkata tiga jentera, satu dari balai Paya Terubong dan dua dari Jalan Perak, dengan 18 anggota berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada pukul 12.02 tengah hari.
Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment