KUALA LUMPUR – Wakil Suruhanjaya Negara Ukraine bagi menyiasat nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh, tidak tahu lokasi kotak hitam pesawat itu, menurut kenyataan dikeluarkan Pusat Krisis Media Ukraine, semalam.
Menurut kenyataan itu, bagaimanapun disyaki kotak hitam itu mungkin berada dalam tangan puak pemisah. Sementara itu, Naib Perdana Menteri Ukraine, Volodymyr Groysman dalam kenyataan berkata 200 petugas Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine terbabit dalam operasi mencari, bersama-sama dengan 800 sukarelawan.
Bagaimanapun, mereka melakukan kerja itu di bawah kawalan ketat pasukan puak pemisah bersenjata, kata Groysman, yang mengetuai Suruhanjaya Negara bagi Penyiasatan berhubung keadaan yang membawa kepada MH17 terhempas.
“Setakat hari ini (Ahad) kami berjaya mengumpulkan dan menempatkan 192 mayat dan lapan bahagian tubuh mangsa penerbangan MH17 di dalam tren khas. Tren ini berada di Torez, dan ia dikunci,” katanya.
Penerbangan MH17 yang menggunakan pesawat Boeing 777-200, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak jatuh dengan peluru berpandu pada Khamis.
Pesawat itu membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas di Donetsk di timur Ukraine.
Grosyman berkata mereka telah selesai menjalankan tugas itu pada pagi Ahad, dan bagaimanapun, sehingga Ahad malam, tren itu masih belum beredar dari stesen kerana kumpulan uak pemisah menghalang jalan.
“Kami sedang berunding dengan mereka berhubung penghantaran mayat mangsa,” katanya.
Grosyman berkata selain itu, dalam beberapa jam lepas, 27 mayat dan 20 bahagian tubuh badan manusia dijumpai dan masih berada di tapak kejadian.
“Saya percaya untuk mencari mayat setiap orang yang tidak bersalah dan terbunuh menjadi tugas utama kami,” katanya.
Berhubung pakar teknikal dan pakar dari pelbagai negara yang bersedia menyertai penyiasatan di tapak nahas, Grosyman berkata isu utama adalah memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Malangnya, kami tidak dapat memastikan keselamatan mereka pada ketika ini, dan kerajaan Persekutuan Rusia, disebalik diminta banyak kali, tidak memikul sebarang tanggungjawab itu dan tidak dapat memberikan jaminan.
“Oleh itu, keputusan untuk hadir di tapak pesawat itu terhempas menjadi hak pakar-pakar sahaja dan juga negara masing-masing. Kami, dalam pada itu, bersedia menyediakan kemudahan pesawat dan menghantar mereka ke kawasan selamat paling hampir pada bila-bila masa,” katanya.
Berhubung ketibaan anggota keluarga mangsa di Ukraine, beliau berkata tiada maklumat rasmi pada ketika ini dan Kementerian Luar Ukraine akan menyelaraskan proses itu berdasarkan permintaan dan dengan kerjasama kedutaan negara masing-masing.
Sementara itu, jurucakap misi pemantauan khas Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) di Ukraine, Michael Bociurkiw, berkata beliau dimaklumkan sebanyak 167 mayat disimpan dalam tren berhawa dingin di stesen kereta api di bandar Torez.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan jumlahnya atau sama ada mayat berkenaan sebenarnya dibawa dari tapak nahas.
Katanya berdasarkan perbualan dengan puak pemisah proRusia, tren kreta api itu akan dibiarkan menunggu di situ sehingga ketibaan pakar-pakar antarabangsa dan pada ketika itu sahaja akan diputuskan untuk dibawa ke mana.
Bociurkiw dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan oleh Pusat Krisis Media Ukraine juga berkata tren itu kemungkinan akhirnya akan dibawa ke kawasan dikawal kerajaan Ukraine, dan ketika ini ia dikawal 24 jam oleh puak pemisah.
Beliau juga berkata berdasarkan pemantauan mereka pada Ahad, petugas mencari dan menyelamat telah mengambil alih tugas sukar dan rumit mencari mayat dan bahagian tubuh mangsa dalam serpihan pesawat yang berkecai itu.
Pasukan 24 anggota misi pemantauan khas OSCE merupakan yang pertama tiba di tapak nahas MH17 itu pada Jumaat lepas dan dikawal ketat oleh puak pemisah pro-Rusia yang bersenjata. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment