Sepasang remaja kembar masing-masing terpaksa menerima jahitan di dada dan perut, akibat terkena serpihan botol plastik yang meletup ketika mereka cuba meletakkan sumbu pada mercun buatan sendiri. Dalam kejadian jam 11 pagi semalam di Kampung Bukit Chatak, di sini, Mohd Fahmi Adri, 14, dan kembarnya, Mohd Fikri dikatakan sedang mencipta mercun baharu sambil disaksikan dua rakan mereka.
Dua rakan mereka itu, Ahmad Alfisyahrin Derasid, 14, dan Muhammad Faiz Izzuddin Ibrahim, 13, turut cedera akibat letupan mercun itu. Sejurus berjaya memampatkan belerang dalam sebuah botol plastik, mangsa dikatakan cuba menebuk tudung botol terbabit untuk meletakkan sumbu, sebelum mercun meletup dan mencederakan keempat-empat mereka.
Letupan kuat Menceritakan kejadian, abang mangsa, Mohd Hakim, 19, berkata beliau terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat sebelum Mohd Fahmi berlari masuk ke dalam rumah memaklumkan dia cedera terkena mercun berkenaan. “Saya terkejut melihat kecederaan adik dan tanpa berlengah segera membawa mereka ke Hospital Dungun. “Saya mengusung adik dan memasukkan dia ke dalam kereta sambil mengarahkan mangsa yang lain mengikut saya ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun, di sini, semalam.
Katanya, sebaik tiba di hospital, doktor yang membuat pemeriksaan menemui satu lubang di dada Mohd Fahmi akibat terkena serpihan botol yang diisi bahan letupan. “Pegawai perubatan berjaya mengeluarkan serpihan dan dadanya terpaksa dijahit. Dia juga cedera di badan, jari kedua-dua belah tangan dan melecur di muka. Muka, badan melecur “Mohd Fikri turut menerima jahitan di perut akibat terkena serpihan botol yang meletup, selain kecederaan dan melecur di badan dan muka.
Dua lagi rakannya turut mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar. “Saya masih menunggu keputusan doktor sama ada kedua-dua belah mata adik parah atau sebaliknya dan saya berdoa agar kecederaannya tidak serius,” katanya. Mohd Hakim berkata, Mohd Fahmi kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebaik sedarkan diri untuk rawatan lanjut.-BERITA HARIAN
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment