KAPIT – Pelaksanaan projek oleh Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC) memerlukan kerjasama penuh masyarakat untuk memastikan kejayaannya, kata Pengerusinya Datuk Joseph Salang.
Menurutnya ini kerana masyarakat sendiri yang bertanggungjawab sepenuhnya melaksana dan menyelenggara kemudahan yang disediakan, bukan kontraktor.
Setakat ini Majlis sudah melaksanakan beberapa projek hidro mikro dan penapisan air mini untuk sekolah dan rumah panjang di seluruh negeri, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurut Salang Majlis itu juga percaya penduduk akan lebih menghargai kemudahan yang disediakan jika mereka terbabit sepenuhnya dalam pelaksanaan dan penyelenggaraan infrastruktur tersebut.
Beliau ditemui selepas kembali daripada mengiringi Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi mengadakan pertemuan dengan rakyat di Rumah Panjang Unyat Chupong di Sungai Merirai dekat sini.
Rumah panjang 27 pintu itu dimiliki oleh seorang pemimpin Dayak yang terkenal dalam kabinet persekutuan pada era 1950-an iaitu mendiang Tun Jugah anak Barieng yang juga datuk Nanta. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment