SEBELUM ini tersebar dakwaan yang mengatakan tentang pelakon Keith Foo telah mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Kim Raymond pada 24 Jun lalu, tetapi segera dinafikan olehnya.
Bagaimanapun, baru-baru ini telah tersebar sekeping gambar yang dikatakan diambil ketika berlangsungnya majlis pertunangan Keith dan Kim yang berlangsung di restoran Mezza9, Publika, Kuala Lumpur.
Kosmo! yang telah mengaturkan sesi fotografi bersama Keith untuk edisi khas Aidilfitri telah bertanya sendiri kepada pelakon kacak itu apabila ada pihak yang mendakwa dia seperti mahu menyembunyikan perkara tersebut.
Menurut figura yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Ariana Rose itu, dia sebenarnya mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian dan tidak berniat untuk menyembunyikannya.
Kosmo!: Pada bulan lalu tersebar cerita yang mengatakan Keith akan bertunang dengan kekasih, tetapi anda menafikannya. Sedangkan perkara tersebut benar menerusi sekeping gambar yang dimuat naik di Instagram seorang individu. Boleh anda komen mengenainya?
KEITH: Apa yang ingin saya jelaskan ialah tiada sebarang niat untuk menafikan cerita yang tersebar. Sebaliknya, majlis yang diadakan itu sekadar meraikan hubungan kami bersama rakan-rakan terdekat.
Jadi bagi saya, perkara itu tidaklah perlu digembar-gemburkan sangat. Selain itu, saya meminta supaya hak peribadi dihormati dan janganlah membuat cerita yang bukan-bukan mengenai diri saya.
Apakah satus anda dan Kim sekarang?
Ketika ini saya tidak boleh mengatakan yang kami sudah bertunang sepenuhnya, tetapi ia sudah ke arah itu. Saya cuma boleh katakan yang pertunangan kami ini belum rasmi lagi.
Sebenarnya, saya dan Kim sudah merancang untuk mengadakan sebuah majlis pertunangan yang bakal dihadiri oleh kedua-dua belah ahli keluarga kami. Selepas itu, barulah saya berani katakan yang kami ini sudah bertunang.
Bilakah anda mahu mengadakan majlis pertunangan secara rasmi itu?
Buat masa ini, kami masih belum ada lagi tarikh yang sesuai kerana sibuk dengan komitmen masing-masing. Sekiranya tarikh sudah ditetapkan nanti, saya akan umumkannya kepada semua orang.
Apakah komen apabila ada segelintir pihak yang mengatakan anda cuba berahsia?
Dalam perkara ini, saya langsung tidak terfikir untuk merahsiakannya daripada pengetahuan ramai kerana merasakan belum tiba masa yang sesuai untuk mengumumkan status hubungan kami. Lagipun, buat apa mahu berahsia tentang perkara yang baik sebegini.
Adakah anda tidak risau apabila isu sebegini boleh menjejaskan karier sebagai pelakon?
Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana pembabitan saya sebagai seorang pelakon semata-mata mahu menghiburkan orang ramai. Selama ini, saya tidak pernah ambil tahu tentang kisah peribadi orang lain dan saya mahu peminat lebih melihat kepada bakat lakonan saya sahaja.
Apakah aktiviti terbaharu karier seni anda sekarang?
Sepanjang bulan puasa ini, saya kurang terbabit dengan sebarang aktiviti lakonan dan lebih fokus kepada perniagaan yang sedang diusahakan sekarang. Tidak lama lagi restoran milik saya, Mezza9 akan membuka cawangan yang kedua.–Kosmo
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment