GUA MUSANG – Hampir 300 orang penduduk di Kampung Mentara Lama di sini kecewa apabila kemudahan bekalan air yang terputus sejak tiga bulan lalu masih belum dibaik pulih oleh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Ini menyebabkan mereka terpaksa menggunakan air parit yang kotor bagi keperluan harian termasuk untuk memasak.
Mereka juga telah jemu membuat aduan berhubung masalah itu kepada AKSB kerana mendakwa syarikat berkenaan tidak mengambil perhatian serius bagi pembaikian segera.
Malah, menurut seorang penduduk, Norsaziera Mohamad, 22, pihak AKSB tidak pernah menjenguk masalah yang dihadapi penduduk kampung terbabit hingga keadaannya bertambah buruk.
Beliau sebelum ini hampir setiap hari menghubungi AKSB bagi menyatakan kesulitan yang dihadapi namun aduan itu diibarat seperti ‘mencurah ke daun keladi’.
“Kami cukup kecewa dengan apa yang berlaku itu kerana sekarang di bulan Ramadan dan kami berdepan dengan masalah itu yang belum ada kesudahannya.
“Tidak lama lagi akan menyambut Aidilfitri pula, terpaksa juga mandi dan membuat kuih raya menggunakan air parit yang tidak terjamin kebersihannya,” katanya.
Wan Maisarah Wan Harun, 30, pula mendesak pihak pengurusan tertinggi AKSB agar turun padang untuk melihat sendiri apa yang dihadapi penduduk mengenai masalah air itu.
Boleh dikatakan sepanjang hari penduduk berkumpul di parit tidak jauh dari situ untuk mengangkut air bagi kegunaan penduduk.
“Sepatutnya AKSB menghantar air dengan lori tangki bagi keperluan penduduk jika keadaan itu berlarutan, tetapi mereka tidak pernah berbuat demikian,” katanya. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment