Sebanyak 181 mayat daripada 298 orang termasuk kru yang menaiki penerbangan MH17 sudah dijumpai pasukan pencari di kawasan ladang bunga matahari dan perkampungan kecil di timur Ukraine.
AP melaporkan, pasukan pencari kecemasan, polis dan pekerja pencari gali secara sukarela melakukan pencarian di kawasan berkenaan sejak pesawat berkenaan terhempas malam Khamis.
Selepas pesawat berkenaan terhempas, serpihan dan bangkainya tersebar luas ke dua perkampungan di timur Ukraine iaitu Rozsypne dan Hrabove.
Bagaimanapun, pasukan pencari terpaksa berjaga-jaga sepanjang berada di kawasan berkenaan berikutan sukar dan berbahaya akibat suasana genting di kawasan itu.
Jalan utama dari bandar terbesar di kawasan itu, Donetsk yang menghala ke kawasan nahas pula dikawal rapi dan pasukan pencari perlu menjalani pemeriksaan dokumen di lima pos kawalan yang dikawal pasukan pemisah sebelum sampai di kawasan nahas.
Meskipun, nahas berkenaan baru berlaku, masih lagi kedengaran bunyi letupan peluru berpandu di kawasan berdekatan hingga ke Jumaat pagi. Dalam kawasan ladang bunga matahari di sekitar Rozsypne yang terletak 40 kilometer dari sempadan Russia, beberapa mayat ditemui di sebalik tumbuhan yang tinggi itu dan ada yang masih berpakaian sut lengkap.
Di Hrabove pula yang terletak beberapa kilometer dari Rozsypne, mayat ditemui ditandakan dengan kain perca merah atau putih. Wakil Menteri Luar Ukraine Andriy Sybiga berkata, sebanyak 181 mayat sudah ditemui pasukan pencari kecemasan tempatan dan semua mayat itu akan dibawa ke bandar yang dikawal kerajaan, Kharkiv yang terletak 270 kilometer di utara untuk tujuan pengecaman.
Antara barang yang ditemui di lokasi kejadian adalah jam tangan, telefon bimbit yang rosak, pasport dan pas perjalanan yang mempunyai kesan terbakar, sehelai baju-T tertulis ‘I Love Amsterdam’ dan sebuah buku panduan pelancongan ke Bali.
Kokpit penerbangan MH17 dan satu turbinnya pula ditemui satu kilometer dari lokasi terhempas manakala ekornya pula ditemui 10 kilometer jauh dari lokasi berkenaan.-HARIAN METRO
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment