Belum hilang kesedihan tragedi kehilangan pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) pada 8 Mac lalu, negara sekali lagi dikejutkan dengan tragedi pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine hingga mengorbankan 280 penumpang dan 15 anak kapal, kelmarin.
Berita menyayat hati itu nyata memberi impak cukup besar kepada sejarah negara dan sejarah penerbangan dunia.
Apatah lagi ia berlaku selang empat bulan selepas tragedi kehilangan MH370 yang sehingga kini kekal misteri tanpa sebarang bukti atau petanda.
Penyanyi dan Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) Datuk DJ Dave ketika dihubungi berkata, berita itu amat menyedihkannya dan lebih mengejutkan dua pembantu juruterbang pesawat malang itu, Muhamad Firdaus Abdul Rahim dan Ahmad Hakimi Hanapi adalah rakan setugas anaknya, Shaz Darween, 31, yang juga juruterbang MAS.
“Anak saya memaklumkan Firdaus baru saja dinaikkan pangkat. Dia yang amat sedih dengan berita itu kini trauma untuk menjalankan tugasnya,” katanya.
Produser dan pengarah filem tersohor yang juga Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam pula melahirkan rasa sedihnya dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Satu lagi tragedi menyedihkan selepas MH370. Kali ini lebih menyayat hati apabila dimaklumkan semua penumpang dan anak kapal MH17 terkorban. Ini adalah satu lagi ujian Allah pada kita. Semoga keluarga mangsa yang terbabit tabah menghadapi ujian ini.
“Sebagai rakyat kita perlu bersatu berdiri di belakang pemimpin kita dalam menghadapi situasi ini. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah melindungi rakyat dan negara ini dari bencana dan musibah.
“Ini saat untuk kita bersatu dan melupakan sengketa sesama kita. Jika kita lemah musuh-musuh negara akan mengambil kesempatan. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Tiada yang lebih berkuasa kecuali Allah,” katanya.
Produser dan pelakon hebat, Rosyam Nor berkata, tragedi yang berlaku ini perlu diambil sebagai iktibar selain mempercayai qada dan qadar Allah.
“Apa yang berlaku sudah tertulis suratannya begitu. Sementara kita yang masih hidup ini, perlu berdoa dan bersyukur kerana malapetaka seperti ini tidak berlaku kepada diri kita.
“Sebelum ini tragedi MH370 memberi tamparan hebat kepada negara dan apa yang berlaku kepada MH17 sekarang, seharusnya setiap individu mahupun rakyat Malaysia sedar pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini. Harus menerimanya ketentuan Allah ini dengan hati yang terbuka bukan mencipta pelbagai spekulasi.
“Kita ambil iktibar dari tragedi MH370, di mana tiada kematangan segelintir rakyat Malaysia dalam menghadapi masalah ini dengan membuat pelbagai isu, mengundang pandangan negatif terhadap negara. Kita perlu berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia boleh memburukkan nama negara juga diri sendiri,” katanya.
Sementara pelakon jelita, Lisa Surihani meminta rakyat negara ini supaya lebih sensitif serta menghormati perasaan keluarga mangsa yang terkorban.
“Terdapat banyak yang kini disebarkan yang saya sendiri tidak pasti kesahihannya. Saya faham dengan medium media sosial, ia kini sebagai satu cara untuk berkongsi maklumat atau menimbulkan kesedaran. Cuma saya berharap jangan lakukan kesilapan dulu seperti yang berlaku kepada MH370, di mana semua terlalu bersikap ‘impulsive’ dengan menyebarkan berita.
“Kita semua merasai kesedihan dan berasa sayu atas apa yang berlaku kepada penumpang dan kru pesawat MH17 tetapi kita seharusnya menghormati keluarga dan mereka yang berkaitan dengan mangsa dengan tidak menyebarkan cerita yang belum pasti kesahihannya. Kalau boleh jangan memuat naik imej-imej yang boleh mendatangkan kesedihan kepada mereka.
“Seelok-eloknya, kita berdoa untuk mereka. Menghormati pemergian penumpang dan anak kapal MH17 dengan melakukan solat serta doa yang ikhlas,” kata Lisa.–Hmetro
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment