Mohammad Foad menunjukkan kepingan logam dipercayai syiling lama yang ditemui ketika usaha pencarian, malam kelmarin. |
MELAKA - Kurang sejam sebelum kontrak pencarian berakhir, syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd akhirnya menemui dua kepingan logam dipercayai diperbuat daripada campuran emas dan tembaga, malam kelmarin.
Kepingan logam dipercayai berasal dari zaman Kesultanan Melayu Melaka itu ditemui ketika kerja-kerja menebuk dinding batu di kawasan pencarian giat dijalankan.
Pengarah syarikat terbabit, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said berkata, kedua-dua kepingan itu yang dipercayai syiling lama ditemui dalam keadaan dipenuhi tanah ketika pekerja terbabit sedang menggerudi tembok dinding batu setebal kira-kira lima meter.
“Ia ditemui di dalam tiub alat penggerudi sebaik ditarik pekerja yang menjalankan kerja-kerja menggerudi di lokasi terbabit.
Syiling pertama ditemui kira-kira 11.15 malam, manakala 15 minit selepas itu, satu lagi syiling ditemui ketika pekerja sedang keluarkan batu dari tiup penggerudi," katanya.
Menurutnya, kedua-dua kepingan itu mungkin diperbuat daripada logam dan punyai campuran emas serta perak berdasarkan warnanya.
Penemuan terbaharu itu sekali gus membuktikan kewujudan harta karun bernilai berbilion ringgit di pulau itu, ada kebenarannya.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Melaka tidak menganggap penemuan artifak berkenaan sebagai harta karun.
Menurut Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka, Datuk Abdul Ghafar Atan biarpun penemuan itu memberi petunjuk bahawa terdapat harta karun di kawasan berkenaan, namun ia belum disifatkan sebagai bukti kukuh.
“Saya tidak boleh mendakwa ini satu penemuan kerana perkara ini jika tersebar, satu dunia tahu. Saya hanya ambil kira apabila terjumpa emas yang sebenar.
“Lagipun, penemuan syiling ini menimbulkan pelbagai andaian. Mungkin pencari harta itu sendiri meletakkan syiling di lokasi pencarian, apa lagi ditemui pada waktu malam,” katanya yang turut berada di tapak lokasi pencarian harta itu di Pulau Nangka, semalam.
Abdul Ghafar yang juga Pengerusi Pulau Besar berkata, sasaran pencarian sebenar adalah jongkong emas yang diperkatakan. - Sinar Harian Online
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment