KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor mengesahkan ada menerima aduan daripada orang ramai tentang urusan jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang didakwa tidak telus.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pengadu terbabit antara lain mempertikaikan kriteria pemilihan pembeli rumah itu yang tidak jelas oleh PKNS dan amalan kronisme.
“Pejabat ini telahpun memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diadakan bersama PKNS, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang.
“Sehubungan itu, PKNS akan memberikan satu penjelasan tentang perkara ini di dalam masa yang terdekat,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Iskandar berkata, projek rumah berkembar tersebut sebenarnya bertujuan menempatkan semula para peneroka Bukit Botak.
Menurutnya, sebanyak 1,422 rumah telah siap dibina dan 1,196 daripadanya diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir.
Jelasnya, terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam, namun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut.
Antara dakwaan itu PKNS gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu, katanya.
Tambah beliau, pengadu juga mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS untuk membeli rumah terbabit.
Sumber: Mynewshub
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment