SELEPAS dihantui dengan kelewatan pembinaan Pusat Akuatik, tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17, Perlis terus dirundung malang apabila bumbung Dewan Badminton yang baru sahaja siap dibina di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra pula bocor petang semalam.
Kebocoran kecil itu dikesan di tiga tempat di sudut dewan tersebut berhampiran tempat duduk teres penonton namun ia tidak menjejaskan pertandingan yang sedang berjalan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Azizan Ab Rahman dalam kenyataan hari ini berkata kejadian bumbung bocor itu dikesan pukul 4 petang semalam.
“JKR mengambil tindakan serta merta dengan mengarahkan kontraktor untuk membaiki kebocoran tersebut dengan segera. Kebocoran ini selesai dibaiki pukul 6 petang pada hari sama,” katanya.
Menurut Azizan kebocoran itu dikategorikan sebagai kecacatan kecil berpunca dari air hujan yang memasuki ruang tepi bumbung yang terbuka akibat pemasangan kurang kemas oleh kontraktor.
JKR membuat pemeriksaan selepas kebocoran dibaiki dan berpuas hati sambil berharap kejadian itu tidak berulang.
Azizan berkata menurut kontrak, kontraktor bertanggungjawab membaiki sebarang kecacatan dan kerosakan bangunan dalam tempoh dua tahun setelah bangunan disiapkan.
Sebelum ini, kontraktor bukan sahaja gagal menyiapkan Pusat Akuatik, yang terletak di kompleks sama, mengikut jadual tetapi bumbung kanvas terkoyak di kolam renang pada hari pertandingan.
Sumber: Bernama
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment