PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan akan melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua produk keluaran Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd (Cadbury) dalam masa terdekat bagi memastikan ia tidak mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) khinzir.
Ini susulan pengesanan elemen khinzir dalam dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) hasil analisis kementerian.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata keputusan lengkap hasil pemeriksaan terhadap produk keluaran Cadbury itu hanya akan diketahui dalam beberapa bulan akan datang kerana perlu melalui pelbagai proses dan prosedur sebelum dimuktamadkan.
“Kementerian kini menyiasat pihak Cadbury di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dalam memastikan sama ada Cadbury dengan sengaja atau secara tidak sengaja memasukkan DNA khinzir dalam produk coklat mereka,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Subramaniam tidak menolak kemungkinan kewujudan DNA khinzir dalam produk Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond berlaku disebabkan pencemaran di sepanjang rantaian pembuatan makanan berkenaan.
Beliau menggesa pihak industri dan pengimport makanan supaya bersikap bertanggungjawab dalam memastikan kesemua produk keluaran mereka mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Subramaniam berkata kementerian hanya menjalankan pemeriksaan terhadap produk makanan dan sijil halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sehubungan itu, kementerian akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pematuhan standard makanan dan pelabelan serta kebersihan makanan yang diperuntukkan mengikut Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Subramaniam berkata Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada sebarang bahaya yang melibatkan kesihatan.
Justeru, label makanan amat penting kepada pengguna kerana ia membolehkan pengguna membuat pemilihan makanan yang bermaklumat.
Beliau berkata peruntukan pelabelan di bawah Peraturan-Perturan Makanan 1985 adalah seperti berikut:
i) Peraturan 11(1)(c) yang menghendaki produk makanan yang mengandungi daging lembu atau daging khinzir dilabel dalam bentuk seperti “Mengandungi” (dengan menyatakan sama ada daging lembu, daging khinzir atau lemak khinzir atau mengikut nama yang berkenaan).
ii) Peraturan 11(1)(f) menghendaki nama biasa haiwan dilabel jika makanan tersebut mengandungi minyak atau lemak daripada haiwan.
iii) Peraturan 11(3) memerlukan nama biasa haiwan dilabel jika ramuan makanan adalah daripada sumber haiwan.
Sumber: Bernama
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment