KUALA LUMPUR - Ahmad Tarmimi Maliki, 26, adalah seorang pekerja kilang biasa di Selangor tetapi di luar rutin aktiviti hariannya, dia rupa-rupanya telah direkrut sebagai pengebom berani mati.
Tanpa diketahui oleh keluarga dekatnya di Pahang, dia yang diberi nama Abu Ahmad Al-Malizzi telah menjadi pengebom berani mati dalam serangan di Ibu Pejabat Skuad Emas Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) di daerah Al-Anbar, Iraq pada 26 Mei lalu.
Ahmad Tarmimi yang dikesan pernah mengikuti latihan ala ketenteraan sebuah kumpulan militan di Port Dickson akhir tahun lalu meletupkan dirinya bersama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tentera jenis Hummers sarat membawa beberapa tan bahan letupan sebelum disusuli serangan hendap oleh pasukan tentera kumpulan militan Daulah Islamiah Iraq dan Sham (ISIS).
Serangan itu dikatakan telah membunuh 25 anggota Skuad Emas SWAT di bangunan berkenaan.
Berita tentang serangan itu disiarkan di dalam media rasmi ISIS dengan tajuk utama Mujahidin Malaysia Syahid Dalam Operasi Martyrdom yang disertakan gambar Ahmad Tarmimi.
Dalam laporan itu turut dinyatakan pasukan ISIS merampas sejumlah besar senjata api termasuk raifal, mesingan ringan dan peluru.
Ahmad Tarmimi dipercayai menjadi rakyat Malaysia pertama terbunuh sebagai pengebom berani mati kerana sebelum ini terdapat beberapa kematian rakyat negara ini di luar negara dalam peperangan di Syria tetapi bukan sebagai pengebom berani mati.
Sumber: Utusan
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment