KUALA LUMPUR – Kumpulan Pro Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan mendakwa seramai lapan pelajar universiti itu dikenakan tindakan dibuang kolej oleh pentadbiran universiti atas sebab tidak munasabah.
Pengerusinya, Jamhuri Mohamed mendakwa, lima pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan itu dibuang kolej hanya kerana mereka membantah tindakan pihak universiti menarik balik satu lot premis kedai di kolej tersebut.
“Mereka dikenakan prosiding tatatertib pada 26 Mei lalu kerana dituduh menyertai suatu himpunan yang diadakan pada 26 Febuari 2014 di hadapan menara Pentadbiran UMS Kampus Antarabangsa Labuan bagi membantah tindakan universiti menarik satu lot premis kedai yang telah diuruskan oleh sekretariat masjid selama enam tahun.
“Kami berpendirian prosiding itu tidak sepatutnya berlaku kerana pertuduhan yang dikenakan jelas bercanggah dengan hak kebebasan berhimpun di negara ini,” dakwanya melalui satu kenyataan hari ini
Jamhuri berkata, Pro Mahasiswa UMS Kampus Antarabangsa Labuan turut menyifatkan perbicaraan yang dijalankan oleh pihak universiti tersebut sangat berat sebelah kerana pendakwaan dan hukuman dijatuhkan oleh pihak yang sama.
Malah, dakwanya, soalan yang ditanyakan kepada pelajar terbabit semasa perbicaraan jelas tidak memberi ruang kepada mereka empertahankan diri.
“Mahasiswa ditanya apakah mereka mengaku menyertai himpunan, dan jika mereka mengaku, maka secara automatik mereka akan didapati bersalah dan terus dihukum,” dakwanya.
Sehubungan itu, katanya, Pro Mahasiswa UMS Kampus Antarabangsa Labuan menyeru pentadbiran universiti itu menarik balik hukuman yang dikenakan ke atas pelajar terlibat.
“Kami akan membawa perkara ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam masa terdekat bagi mengetengahkan pencabulan hak asasi tersebut,” katanya.
Sumber: My News Hub
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment