KUALA LUMPUR – Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) mencadangkan supaya pemberian subsidi diesel hanya diberikan kepada mereka yang layak di negara ini.
Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, subsidi tersebut perlu diagihkan kepada mereka yang memerlukan sahaja seperti golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Perubahan harus dilakukan supaya struktur ekonomi dapat ditingkatkan setimpal dengan perubahan taraf hidup semasa dan khusus kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan layak.
“Bagi memastikan sistem pembahagian dan pengkelasan dilakukan sebaik mungkin, mereka yang bertanggungjawab harus menambah baik kualiti pengurusan dan tidak harus ada kepentingan politik dalam memilih,” tegasnya melalui satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian kerana mendakwa proses pembahagian bahan bakar terlalu longgar hingga membolehkan pihak tidak bertanggungjawab menjual diesel bersubsidi ke negara jiran.
Sehubungan itu, Moehamad Izat memuji usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mencegah kegiatan penyelewengan diesel yang mengakibatkan negara mengalami kerugian yang besar.
Katanya, Perdasama berharap usaha oleh SPRM itu sentiasa berterusan dalam membantu membanteras penyelewengan yang berlaku di negara ini.
Beliau bagaimanapun menyatakan pendirian Perdasama bahawa sistem subsidi diesel tidak harus diberikan percuma selamanya.
Sumber: Mynewshub
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment