BEIJING – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata belia China menghargai hubungan dengan Malaysia dan masih ingat Malaysia negara pertama dari Asia Tenggara yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan mereka.
Katanya, belia China sentiasa membangkitkan fakta sejarah itu dalam pertemuan beliau dengan mereka.
“Ini (permulaan hubungan diplomatik) merupakan peristiwa yang membanggakan kita dan mereka sering membangkitkan peristiwa tersebut (semasa pertemuan kami),” katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.
Beliau ditemui semasa menghadiri perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan Malaysia-China’ yang bermula hari ini sehingga 2 Jun, di Beijing Foreign Studies University, di sini.
Khairy mengetuai delegasi 100 belia Malaysia ke sini bermula 26 Mei lalu sehingga esok sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Menurut Khairy, beliau dan delegasi telah mengadakan pertemuan dengan All China Youth Association dan Communist Youth League.
Selain itu, katanya mereka juga melawat ‘The Central Party School of Chinese Communist Party’, iaitu sebuah sekolah untuk Parti Komunis China melatih pemimpin masa depan mereka.
“Sudah pasti ideologi mereka lain daripada kita, tetapi cara mereka buat latihan, contohnya sebelum mereka naik pangkat kena balik sekolah mengambil kursus selama dua bulan, saya rasa cara ini amat baik sekali,” katanya.
Selain itu, katanya sekolah itu turut mendedahkan pelajarnya dengan isu antarabangsa dan ekonomi.
Mengulas lawatan secara keseluruhan, Ketua Pemuda UMNO itu berkata kunjungan bukan sahaja memberi peluang kepada belia Malaysia mempamerkan kebudayaan pelbagai kaum kepada rakan mereka di sini, tetapi juga membuka ruang untuk mereka mewujudkan tanggapan positif selepas tragedi MH370.
“Satu rombongan belia China akan membuat lawatan balas ke Malaysia pada September ini,” katanya.
Sumber: Sinar Online
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment