Penyertaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, Kemaman buat kali pertama dalam Pertandingan Gamelan Melayu Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu 2014 ternyata berbaloi apabila menjadi juara dalam pertandingan tersebut.
Kejayaan itu secara tidak langsung melayakkan SMK Mak Lagam membawa pulang wang tunai RM5000.
Persembahan yang disampaikan oleh 15 pelajar sekolah itu berjaya menambat perhatian juri sekali gus menewaskan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu yang terpaksa berpuas hati berada di tempat kedua.
Tempat ketiga dalam pertandingan yang disertai 21 buah sekolah dari seluruh daerah di negeri ini menjadi milik SMK Sultan Sulaiman.
Hadiah kemenangan pertandingan anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu itu telah disempurnakan oleh Pengarah LMNT, Mohd Yusof Abdullah.
Sementara itu, pengurus pasukan gamelan SMK Mak Lagam, Suriani Ya berkata, beliau tidak menyangka penyertaan kali pertama ke pertandingan tersebut membuahkan hasil.
Jelasnya, ini kerana masa yang diambil untuk pelajar berlatih begitu singkat kira-kira sebulan sebelum pertandingan dan tanpa jurulatih khas.
“Biarpun begitu, pelajar kami berazam untuk melakukan sebaik mungkin dalam pertandingan ini dan mereka mempunyai motivasi yang tinggi walaupun menghadapi kekangan masa dan tenaga pengajar,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan tersebut di Muzium Negeri Terengganu, hari ini.
Beliau menambah, kejayaan tersebut dapat meningkatkan motivasi pelajar SMK Mak Lagam untuk menyertai pertandingan seumpama itu pada masa hadapan termasuklah di peringkat kebangsaan.-Teganukita.My
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment