KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara Elaine Daly menegaskan dia tidak mungkin kembali bercinta dengan Hans Isaac kerana sudah menganggap pengarah dan aktor itu seperti abang kandungnya.
Elaine menjelaskan khabar angin mengatakan mereka kembali bercinta selepas Hans memuat naik gambar mereka bersama keluarga masing-masing menikmati makan malam bukan suatu isu besar.
“Cerita tentang percintaan kami sudah berlalu hampir 12 tahun namun hubungan kami masih akrab seperti adik-beradik malah saya menganggapnya seperti abang.
“Malah kami sering berjumpa dengan disertai oleh ahli keluarga lain kerana hubungan kami semua memang rapat dan teman lelaki saya turut menyertai pertemuan itu,” katanya kepada mStar Online.
Elaine ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu musim bunga dan panas jenama Dressing Paula di G Tower dekat sini, Rabu.
Selain Elaine, antara selebriti lain yang turut hadir pada acara itu adalah Daphnie Iking, Atilia dan Julie Woon.
Dalam pada itu, bercakap mengenai kekasihnya, Elaine berkata, dia tidak pernah mengimpikan akan bertemu seorang lelaki yang disifatkan cukup penyayang dan romantik terhadapnya.
Jelas Elaine, biarpun baharu sahaja mengenali lelaki yang berasal dari Afrika Selatan itu namun hatinya tertarik dengan sifat yang ada padanya.
“Saya kagum dengannya kerana dia berjaya membuatkan saya bercakap tentang dia secara terbuka dan saya berada dalam fasa yang sangat bahagia.
“Kebaikannya, sifat romantis dan keterbukaan dia menerima saya seadanya membuatkan saya tahu dia adalah cinta sejati saya,” katanya.
Jelas Elaine lagi, dia bertambah kagum dengan teman lelakinya itu kerana fasih berbahasa Malaysia selain mengetahui pelbagai perkara tentang negara ini.
“Dia adalah seorang doktor dan telah menetap di Malaysia selama 10 tahun malah boleh menyanyikan lagu Negaraku dengan baik selain menghafal Rukun Negara.
“Ia membuatkan hubungan itu bertambah mudah kerana dia faham budaya kita sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Elaine yang juga salah seorang Pengarah Urusan Kebangsaan, Miss Universe Malaysia berkata, dia kini sibuk dengan pelbagai aktiviti untuk pertandingan itu tahun ini.
Malah kata Elaine, pihaknya akan menjelajah ke seluruh Malaysia bermula Mei depan bagi mencari calon pertandingan tersebut.
“Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini dan tahun ini kami akan mencari di seluruh Malaysia calon sesuai untuk pertandingan tersebut.
“Fokus kami bukan sahaja tentang kecantikan tetapi melihat kepada pakej keseluruhan yang dapat diketengahkan pada peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Malah kata Elaine, satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengumumkan projek terbaharu itu. - mStar Online
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment