IPOH – Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental bertindak menikam perut sendiri menggunakan gunting dan mengeluarkan ususnya di tapak pasar malam Hutan Melintang dekat sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun berkata, dalam kejadian jam 1 petang itu, lelaki itu, Shurkey, 42, dilihat meracau seorang diri sebelum bertindak mencucuk perutnya berulang kali.
Menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian itu cuba menasihati mangsa namun lelaki berkenaan dilihat semakin agresif.
“Orang ramai terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan bagi menenangkan mangsa.
“Bagaimanapun, ketika polis cuba memujuknya, mangsa menjadi semakin ganas dan polis terpaksa memegangnya bagi mengelakkan dia terus mencederakan dirinya.
“Mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan namun meninggal dunia kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zaki berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bukan penduduk tempatan dan dia tinggal bersama keluarga saudaranya di Hutan Melintang.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Sinar Online
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment