Gambar Hiasan
Pasir Mas: “Papa tidak mahu lagi ke sana, kalau papa pergi kali ini, itu tidak akan kembali sampai bila-bila,” kata Mohd Hafizie Azmi, 25, kepada isterinya Nor Syazwani Mat Samsudin, 25, sebelum maut dalam kemalangan di Kampung Kelar, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, kereta Proton Satria GTI dipandu mekanik itu dari arah Tok Uban ke Cabang Tiga Kelar, terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler menyebabkan dia cedera parah di kepala dan muka akibat tersepit.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pasir Mas (HPM) kira-kira jam 5.30 petang.
Menurut Nor Syazwani, beberapa jam sebelum kejadian itu dia sempat berbual dengan suaminya dan menyangkakan apa yang diperkatakan itu adalah gurauan.
“Dia tinggal di rumah sewa di Ampang, Selangor, dan saya memberitahunya mahu mengikut tinggal bersamanya di sana.
“Saya pelik apabila dia pesan supaya menuntut bayaran deposit rumah sewa itu dengan alasan tidak mahu lagi kembali bekerja di sana, mahu tinggal di sini.
Saya anggap dia bergurau,” katanya.
Katanya, suaminya bekerja sebagai mekanik dan pulang bercuti di kampung sejak seminggu lalu.
Katanya, dalam kejadian itu, suaminya sedang memandu uji kereta yang baru siap dibaikinya.
“Tidak lama selepas suami keluar, saya diberitahu suami terbabit dalam kemalangan lalu bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba, saya lihat suami dibantu orang ramai kerana tersepit di tempat duduk dan dia dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat,” katanya.
Jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gual Kulim, Batu Karang, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.
Mangsa meninggalkan dua cahaya mata iaitu Norhayatul Humaira, 5 dan Nur Jannatul Zahra yang berusia 13 bulan.
Sumber - myMetro
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment