Lapan November menjadi tarikh keramat bagi pasangan Nazril Mohd. Idrus dan Sazlini Shamsul Falak atau lebih dikenali sebagai Sazzy Falak disatukan sebagai suami isteri.
Kini, lapan tahun mengikat kasih melayari bahtera rumah tangga, pasangan bahagia ini dikurniakan sepasang anak kembar yang diberi Imaan Lily dan Tiara Rose.
Mengimbau kembali kenangan antara mereka berdua, jelas Sazzy, perkenalan mereka bermula ketika hadir ke satu program motivasi.
“Sebenarnya rakan kami yang memperkenalkan kami berdua. Ketika itu ada sebuah program motivasi yang saya hadir.
“Selepas itu, kami mengenali satu sama lain dan dalam tempoh awal perkenalan, tiada perasaan apa-apa pun. Cuma bila sudah lama sedikit, barulah rasa itu hadir,” ujarnya.
Tambah Sazzy lagi, hampir setahun lebih dia membuka hati untuk Nazril, kemudian barulah dia mengambil keputusan untuk bergelar isteri kepada jejaka itu.
Jelas Sazzy lagi, ada kenangan manis yang tidak boleh dilupakan ketika bersama dengan Nazril. Saat di mana Nazril melamarnya untuk menjadi seorang isteri.
“Nazril ada melamar saya dan lamaran yang dibuat itu memang menjadi antara kenangan yang tidak boleh dilupakan dalam hidup saya.
“Sebenarnya, sebelum itu, kami sudah berbincang untuk meneruskan hubungan kami ke peringkat seterusnya iaitu untuk bergelar suami isteri.
“Tetapi, saya tidak sangka pula yang dia akan membuat kejutan untuk melamar saya di pantai yang terletak di Koh Samui, Thailand,” jelasnya.
Tambah Sazzy, percutian di Koh Samui itu sebenarnya adalah percutian bersama keluarga pada awal Januari tahun 2006.
“Masa itu saya bercuti bersama Nazril dan keluarga, ketika itu, dia memanggil saya dan mengajak saya untuk pergi ke tepi pantai.
“Ketika berada di tepi pantai itu, dia meluahkan hasratnya untuk bernikah dengan saya dan ketika itu, perasaan saya memang terkejut,” jelasnya.
Tambah Sazzy, walaupun sudah tahu yang mereka berdua akan berkahwin tetapi lamaran yang dibuat secara tiba-tiba yang membuatnya terharu.
“Tetapi masa melamar itu cuma ada kami berdua sahaja. Bukannya ada majlis besar atau sebagainya. Tetapi itu sudah cukup memadai untuk membuat saya terharu,” katanya yang masih mengingati detik lamaran itu sehingga kini.
Lamaran spontan
Mengajukan kenangan manis itu kepada suaminya, jelas Nazril, lamaran itu sebenarnya dirancang secara spontan.
“Masa melamar itu memang spontan sebenarnya. Sebab itu tiada majlis besar-besaran. Ia cuma kejutan ringkas yang saya mahu buat ketika itu juga,” jelasnya.
Tambah Nazril, lokasi pantai itu sedia cantik dan suasananya yang damai membuatkan dia terfikir mahu melamar Sazzy ketika itu.
“Pantai itu memang cantik, ditambah dengan suasananya yang damai dan tenang, ketika itulah saya fikir ini merupakan masa terbaik untuk saya melamarnya.
“Benar kami berdua sudah merancang untuk berkahwin, tetapi saya rasa biarlah ada lamaran rasmi yang boleh saya lakukan untuk menjadi kenangan antara kami berdua,” ujarnya.
Mengenali Sazzy, jelas Nazril, dia akui wanita itu adalah yang terbaik bukan sahaja sebagai suri dalam hidupnya, tetapi juga seorang ibu bagi anak-anak mereka.
“Sazzy adalah seorang yang sangat baik hati. Dia mempunyai personaliti yang menjadi contoh bukan kepada anak-anak, tetapi kepada saya juga.
“Dia sebenarnya seorang yang tidak banyak kerenah. Lepas itu dia juga seorang yang tidak suka bercerita tentang keburukan orang.
“Malah, ketika saya bercinta dengannya, sikapnya itu yang membuat saya tertarik dan sudah pasti, ada sikap-sikap dalam diri Sazzy yang memang serasi dengan saya,” jelasnya.
Namun, ada satu peristiwa yang tidak boleh dilupakan oleh Nazril saat mereka melancong ke Macau di mana Sazzy beria-ia mahu melakukan lompatan dari Macau Tower.
“Sikap Sazzy memang serasi dengan saya, tetapi ada sekali saya memang tidak sangka dengan sikapnya ketika itu kerana dia mahu melakukan lompatan daripada Macau Tower.
“Lompatan bungy dari Macau Tower sebenarnya adalah salah satu lompatan yang tertinggi di dunia. Dia beria-ia mahu melakukan lompatan itu.
“Saya ketika itu terkejut juga dengan keberaniannya mahu melakukan terjunan itu sedangkan saya sendiri sebenarnya sudah menggigil ketika di atas itu,” katanya tertawa.
Tambah Nazril, ada satu lagi sikap pada diri Sazzy yang berjaya mengubah dirinya iaitu sikap cintakan alam sekitar.
“Kalau dulu saya tidak kisah sangat dengan sampah dan kalau ada sampah, saya buang merata-rata. Tetapi dengan Sazzy, kalau saya buat begitu, dia akan marah.
“Walaupun sampah kecil sekalipun, dia akan marah saya dan sikapnya itu yang mengubah diri saya,” ujarnya.-Utusan
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment