Wednesday, 25 June 2014
PPDNKK KL Rampas Barang Tiruan Berjenama Bernilai RM111,000
KUALA LUMPUR – Bahagian Penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kuala Lumpur merampas pelbagai jenis barangan tiruan bernilai RM111,000 dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Haji Taib di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat kuasanya Rosli Ahmad berkata dalam serbuan pukul 10 pagi itu pihaknya merampas 6,227 barangan tiruan seperti dompet, beg tangan dan aksesori yang menggunakan jenama terkenal.
“Ketika serbuan terdapat beberapa pekerja warga tempatan di dalam premis berkenaan, namun mereka memberi kerjasama kepada kita. Tiada sebarang tangkapan dibuat.
“Kita masih menyiasat latar belakang pemilik premis berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan yang disita,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Rosli berkata serbuan seumpama itu akan diteruskan bagi membanteras kegiatan penjualan barangan tiruan.
Pengguna juga dinasihati agar tidak membeli barangan tiruan terbabit kerana perbuatan itu salah disisi undang-undang.
Sumber: BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment