Muhamad menunjukkan serkapnya yang kosong.
RANTAU PANJANG - Penduduk di dua kampung dekat sini, terkejut apabila mendapati lebih 500 bangkai ikan memenuhi permukaan Sungai Tasik Garu, Baroh Pial, di sini, semalam.
Penduduk, Yahya Abas, 31, bangkai yang memenuhi permukaan sungai bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah menyebabkan pencemaran bau.
Menurutnya, sebelum ini, sungai itu menjadi antara sumber bekalan air bersih kepada penduduk Kampung Bukit Sukai dan Petai Dusun.
“Biasanya, penduduk guna air sungai ini ketika musim kemarau namun, kini tidak lagi setelah mendapati airnya bertukar menjadi kehitaman.
“Air sungai ini mungkin sudah tercemar kerana ia menyebabkan banyak ikan mati dan penduduk turut dijangkiti penyakit kulit dan kegatalan jika terkena kulit,” katanya.
Yahya berkata, penduduk terpaksa mencari sumber air lain untuk dijadikan sebagai kegunaan harian atau minuman untuk ternakan.
Selain itu katanya, penduduk juga risau sekiranya ia mengalir ke perigi yang terletak berdekatan dengan kediaman penduduk kampung.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Muhamad Omar, 65, berkata, kotoran itu menyebabkan ikan sungai tidak dapat membiak.
“Saya sering meletak serkap di sungai ini, namun kecewa apabila mendapati perangkap sering kosong.
“Saya sedih melihat keadaan sungai, sedangkan sebelum ini sungai sepanjang 20 hingga 35 kilometer bermula dari Felda Kemahang Tiga hingga Sungai Gutong Tersang Tok Deh bersih dan jernih,”
katanya.
Sebelum ini, katanya, pihak penguat kuasa ada datang untuk mengetahui lebih lanjut berhubung kejadian itu, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.
Sehubungan itu, penduduk berharap pihak Jabatan Alam Sekitar memantau keadaan air Sungai Tasik Garu di sini, untuk kebaikan penduduk sekitar.
Sumber - Sinar Harian
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment