KRONOLOGI kisah kontroversi yang melanda hubungan pelakon Lisdawati dan Sharnaaz Ahmad ditutup dengan permohonan maaf dalam sebuah rancangan hiburan 2 Julai lalu.
Kemelut yang melanda hubungan pasangan Lisdawati dan Sharnaaz Ahmad bermula apabila pelakon wanita itu mendakwa, dia ditengking oleh Sharnaaz ketika di set penggambaran drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta sekitar hujung bulan Februari lalu.
Lebih serius apabila perselisihan faham itu mengheret suami Lisdawati, Fauzi Nawawi terbabit sama hingga melibatkan SMS berbaur selaran bahasa gangster, laporan polis dan sindiran rawatan kesihatan mental di hospital.
Permohonan maaf itu secara langsung telah menamatkan segala episod panas antara pasangan Lisdawati dan Fauzi Nawawi dengan Sharnaaz Ahmad.
“Kalau boleh saya tidak mahu memanjangkan cerita yang sudah berakhir. Kami sudah tutup buku lama dan mulakan cerita baharu. Bagi saya semuanya sudah kosong-kosong.
“Tiada komen daripada pihak saya dan kami terbuka untuk berjumpa atau bersemuka selepas ini. Dia pun sudah enggan dikaitkan lagi selepas ini dan kenyataan saya di rancangan hiburan tempoh hari adalah penamat segalanya.
“Risau nanti kalau saya komen lagi orang akan salah erti dan saya sekeluarga yang kena tanggung. Saya pun mahu hidup dengan tenang dan gembira dan sempena kedatangan bulan Ramadan ini saya mahu positif dan memandang ke hadapan,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran produk fesyen kosmetik, Airish Miracle di Hotel The Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hero sulung
Sebesar harapan agar kisah kontroversi itu tidak dipanjangkan lagi, begitu juga impiannya untuk memulakan semula kehidupannya bersama cahaya mata baharu, Ahmad Nur Fyrdaus yang dilahirkan pada 13 Jun lalu.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar sepanjang waktu saya sakit untuk bersalin hingga selesai segalanya walaupun saya bersalin lebih lewat daripada jangkaan doktor.
“Perbezaan lima tahun dengan anak kedua saya bukan penghalang untuk saya mendidik semua anak saya sebaik mungkin.
“Dengan kehadiran orang baru dalam keluarga kami, tiada masalah untuk membahagikan masa antara bekerja dan menjaga anak.
“Bahagia tidak akan datang kalau kita tidak cari dan untuk mencapai kebahagiaan, kita sendiri perlu sabar, positif dan terima seadanya pasangan kita serta banyak berbincang,” jelasnya.
Ahmad Nur Fyrdaus merupakan anak lelaki pertama pasangan Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 35, dan Fauzi sejak mendirikan rumah tangga pada tahun 2007.
Pasangan itu sebelum ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, 6 tahun dan Nur Aina Fazneesya, 5 tahun.
Langgar pantang
Ditemui pada majlis sama, Lisdawati turut mengulas mengenai pandangan segelintir pihak yang mendakwa pelakon filem KL Menjerit itu melanggar pantang apabila keluar rumah sebelum cukup 44 hari tempoh pantang bersalin.
“Saya berani keluar rumah pun setelah dua minggu berpantang di rumah dan kehadiran saya sekadar memberikan sokongan kepada kawan rapat saya iaitu pengasas Airish Miracle, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali.
“Lagipun, memang perjanjian sudah dibuat sebelum ini dan tidak salah untuk saya menyokong acara ini. Majlis ini pun tidak perlukan saya berpanas terik di bawah matahari dan cuma dua hingga tiga jam saja, jadi apa salahnya saya datang.
“Malah, pertengahan Ramadan pun saya sudah boleh memulakan penggambaran kerana sudah tamat pantang,” ujarnya.
Lisdawati menegaskan sepanjang tempoh berpantang di rumahnya, dia mengamalkan rawatan secara tradisional yang dikawal rapi oleh ibunya sendiri.
“Setiap individu berbeza cara berpantang dan sepanjang dua minggu di rumah saya berpantang sebaik mungkin. Ada bertungku, berurut, bengkung dan mengamalkan ubat-ubatan tradisional.
“Begitu juga daripada segi pemakanan, saya memang prihatin terhadap makanan yang saya ambil kerana perlu menyusukan anak saya. Elakkan makanan yang sejuk, makanan laut, berlemak dan pedas,” jelasnya.
Nama depan Raudhah
Menyasarkan untuk mendapatkan kembali bentuk badan asal seperti sebelum mengandung, kata Lisdawati dia harus menurunkan berat badannya sebanyak 13 kilogram untuk mendapatkan berat badan ideal.
“Untuk mendapatkan kembali bentuk badan saya yang asal saya perlu menjaga pemakanan. Ketika sedang mengandung badan saya naik mencecah 73 kilogram.
“Kemudian selepas bersalin berat badan saya kini turun kepada 63 kilogram dan saya perlu kurangkan berat sebanyak 13 kilogram lagi,” katanya.
Berbicara mengenai pilihan nama anak ketiganya, Ahmad Nur Fyrdaus, kata Lisdawati, dia memang inginkan nama anak yang berpangkal huruf N dan F mewakili nama Nisdawati dan Fauzi.
“Saya mahu namakan anak-anak saya dengan huruf N dan F jadi saya pilih Fyrdaus. Kemudian ketika menunaikan umrah, suami saya (Fauzi) berdoa dan terpacul nama Ahmad Nur Fyrdaus.
“Selepas bersalin, kami tidak mahu berfikir panjang lantas memilih nama Ahmad Nur Fyrdaus untuk anak ketiga kami. Alhamdulillah, dia tidak banyak ragam,” tambah Lisdawati.-Kosmo
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment