Home » artis » Chef Wan Hanya Mahu Mendidik
Chef Wan Hanya Mahu Mendidik
Posted by kezamx on Saturday, 21 June 2014
Semenjak kebelakangan ini, chef selebriti dan pengacara, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan sering dihimpit kontroversi berkenaan dengan akaun Instagram miliknya. Bermula dengan kes nasi lemak 'telanjang', isu MH370, isu budu, dan yang terbaru isu coklat lemak babi. Apa yang diperkatakan oleh Chef Wan menerusi akaun Instagramnya pasti mengundang sensasi di laman sosial.
Peluang bertemu Chef Wan di majlis pelancaran Feast of Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa membuka peluang kepada GUA untuk mendapatkan komen empunya badan.
"Bila saya bersuara sahaja menerusi Instagram, pasti ada golongan pembenci. Seperti contoh, isu coklat lemak babi, saya hanya menyuarakan pendapat saya. Jika benar perkara itu berlaku, kita seharusnya tutup mulut sahaja. Jaga sensitiviti orang lain yang tinggal di Malaysia. Masing-masing ada kepercayaan sendiri. Tapi adakalanya, orang kita termelatah lebih," ujarnya memulakan bicara.
"Pengikut Instagram saya bukan orang Melayu sahaja. Malah pelbagai lagi bangsa lain. Saya cuma melemparkan nasihat dan mendidik pada masa yang sama. Saya tegur kerana tidak mahu orang memandang kita ini seperti katak di bawah tempurung. Hormati perasaan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa," katanya lagi.
Seringkali menerima komen berbau negatif golongan pembenci, Chef Wan tidak menghiraukan apa yang diperkatakan oleh mereka.
"Saya biarkan sahaja. Bagi saya mudah, 'ada aku kisah?'. Saya tidak menyekat mereka. Biar sahaja mereka mahu membenci saya di Instagram. Golongan pengikut yang saya sekat adalah mereka yang tidak meletakkan gambar wajah mereka dalam profil. Ada yang meletakkan gambar kaki, gambar kucing dan sebagainya. Saya lakukan perkara begitu kerana saya mahu Instagram saya 'transparent' di mana saya kenal dan boleh melihat wajah siapa yang berinteraksi dengan saya dan sebagainya. Mereka yang mengikuti saya harus menghormati saya dengan menunjukkan wajah mereka," ulas Chef Wan lagi.
Persoalannya, adakah pelakon filem 'Lurah Dendam' ini berasa tertekan kerana golongan pembenci yang wujud di akaun Instagramnya?
"Saya tidak tertekan. Kalau betul saya tertekan, sudah lama saya tutup akaun Instagram saya. Sampai satu tahap itu, saya menyedari yang diri kita akan selamanya ada orang yang tidak suka. Kalau saya tutup akaun atau rasa tertekan, pastinya golongan 'haters' ini akan suka. Selagi apa yang saya lakukan ini saya rasakan okay, selagi itu saya akan teruskan," katanya mengakhiri perbualan.
Sumber - gua.com.my
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment