KUALA LUMPUR – Antara yang dibimbangkan rakyat Johor jika Sultan diberi kuasa penuh dalam Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) adalah mampukah Menteri Besarnya, Tan Sri Khaled Nordin menasihati Sultan walaupun beliau mengaku mempunyai kuasa eksekutif selaku pemimpin negeri.
Bercakap hari ini mungkin mudah tetapi realitinya, Khaled masih terikat sebagai rakyat biasa di bawah naungan sistem beraja. Bila sampai waktunya, apakah Khaled boleh menegur Sultan jika ada yang tidak berkenan di hatinya?
Selain rakyat, itulah yang turut dibimbangi mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahatihir Mohamad.
Pada satu sidang media di Kuala Lumpur pagi ini, Mahathir berkata, Khaled mungkin akan tunduk kepada adat tradisi negeri Melayu yang menganggap Sultan sebagai ketua.
“Kita orang Melayu dan sudah menjadi adat resam Melayu jika sultan berkata sesuatu, ia mesti diikut dan saya bimbang bukan dia (MB) yang menasihati Sultan tapi Sultan yang akan nasihat dia,” katanya.
Jelas Mahathir, Sultan Johor tidak seharusnya terlibat dalam pentadbiran eksekutif negeri demi menghormati Perlembagaan Persekutuan.
“Kita tak guna sistem adat tradisional, kita ada sistem raja berpelembagaan. Dulu selepas merdeka kita pilih ikut sistem ini. Saya harap agar Perlembagaan dihormati,” katanya.
Tambah Mahathir lagi, beliau bimbang kerana Johor sebuah negara yang kaya tetapi menjual terlalu banyak tanah kepada rakyat asing.
“Saya dengar banyak tanah di Johor telah dijual kepada rakyat asing. Ini perkara tidak bagus dan kerajaan negeri kini sedar dan akan memastikan ianya tidak akan berlaku lagi.
“Mereka cuba baiki kelemahan dan ini jelas menunjukkan betapa tegasnya kerajaan negeri dalam menangani masalah ini kerana mereka (kerajaan negeri) tahu ini salah,” katanya.
Sumber: Malaysian Gazzete




{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment