Pelantun lagu Kisah Hati, Alyah melalui detik mencemaskan apabila diragut seorang lelaki bersenjatakan pisau dalam satu kejadian yang berlaku di Damansara pada 26 Mei lalu. Insiden berlaku ketika Alyah sedang berjalan bersendirian menuju ke sebuah kedai serbaneka 24 jam yang terletak kira-kira 20 meter dari tempat letak keretanya.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi pada Isnin minggu lalu. Salah saya juga sebenarnya sebab ‘gatal’ nak pergi ke kedai pada waktu begitu. Ketika itu saya berjalan seorang diri menuju ke kedai yang terletak berhampiran sebuah bank yang beroperasi 24 jam.
Kawasan di situ memang gelap dan baru saja berjalan, tiba-tiba beg tangan saya terus diragut. Kejadian memang berlaku sepantas kilat. Saya cuba melindungi beg saya, namun ketika menoleh muka saya terus dipukul tidak pasti sama ada dengan kayu ataupun lampu suluh sehingga saya terduduk. Apabila peragut tersebut mengacukan pisau di muka saya, saya terus mengalah,” ujar Alyah menceritakan detik cemas yang dihadapinya.
Menurut Alyah lagi, kejadian tersebut melibatkan dua orang lelaki di mana seorang lagi suspek sudah bersedia menunggu di motosikal. Akibat insiden itu, Alyah mengalami kerugian lebih RM5,000 apabila peragut melarikan beg tangannya yang mengandungi wang tunai, kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit, kunci kereta serta pelbagai barangan kecantikan diri edisi terhad.
“Saya redha kehilangan duit kerana bagi saya duit boleh dicari lagi. Tapi saya ralat kerana dalam banyak-banyak barang yang hilang, tasbih yang saya selalu bawa ketika menunaikan Umrah turut hilang. Secara peribadi, saya paling sayang dengan tasbih itu,” kata Alyah.
Penyanyi lagu ‘Tak Mungkin Kerna Sayang’ ini ketika ditemui GUA turut memberitahu dirinya kini trauma akibat kejadian tersebut dan mengakui sudah membuat laporan polis pada minggu lalu.
“Ini kali pertama saya melalui detik diragut dan sudah tentu sesiapa saja yang pertama kali menghadapi detik tersebut akan mengalami trauma dan fobia. Saya trauma selama enam hari di mana tiap-tiap malam saya akan terbangun kerana masih teringat dengan insiden yang berlaku,” tuturnya mengakhiri perbualan.
Sumber: Gua
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment