Kesedihan ibu tunggal meneruskan kehidupan bersama anak-anak tanpa suami tercinta cukup terasa dan menguji ketabahan apatah lagi setiap kali Ramadan menjelang terutama mereka yang daripada keluarga miskin.
Hidup dalam serba kekurangan, seorang ibu tunggal Kamariah Ismail, 38, dari Kampung Seberang Takir yang kematian suami tiga bulan lalu akibat serangan jantung hanya menyambut ketibaan bulan mulia ini secara sederhana.
“Sejak arwah suami meninggal, kehidupan kami sekeluarga mula berubah. Saya yang tidak bekerja hanya bergantung kepada sedikit simpanan yang ditinggalkan arwah untuk perbelanjaan harian.
“Apabila anak-anak teringin makan sedap-sedap yang banyak dijual dibazar-bazar Ramadan, hati saya sebak kerana kadang-kadang tidak dapat tunaikan permintaan mereka,” ujar ibu kepada empat anak yang berusia antara 13 hingga dua tahun itu.
Menurut Kamariah, arwah suaminya itu seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan sangat rapat dengan anak-anak.
“Walaupun kami sekeluarga hidup susah, tetapi arwah suami akan berusaha memenuhi impian anak-anak terutama dalam soal makan minum mereka.
“Ketiadaanya pada Ramadan kali ini amat terasa apatah lagi anak-anak masih kecil dan belum memahami kesusahan hidup yang saya lalui,” ujarnya kepada teganukita ketika ditemui pada program “Singgah Sahur’ malam tadi.
Walau bagaimanapun, kesedihan Kamariah dan anak-anak sedikit terubat apabila menerima bantuan berupa barangan dapur untuk kegunaan sepanjang Ramadan ini yang disumbangkan Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) pada program itu.
“Terima kasih kepada yang membantu kami sekeluarga kerana apa yang paling penting kepada saya sekarang adalah kegembiraan anak-anak,”ujarnya.
Dia yang masih menunggu jawapan permohonan bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu juga mengharapkan pihak Maidam mempercepatkan bantuan yang sepatutnya agar anak-anaknya dapat menyambut aidilfitri dengan ceria seperti kanak-kanak lain.
Sementara itu, Rosniza Harun,42, yang kematian suami sembilan tahun lalu sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan.
Ibu tunggal kepada enam orang anak berumur dari Pulau Ketam, Duyong itu sangat gembira dengan sumbangan yang diterima dan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat terutama di bulan Ramadan ini.SUMBER
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment