Selepas tujuh hari bertarung nyawa, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan yang parah selepas kepalanya dipercayai terhantuk pada sebuah meja, akhirnya meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Khalish Hadif Kamarul Zaman Shah yang dimasukkan ke hospital tersebut sejak 1 Julai lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 11.15 pagi ini.
Difahamkan, pemeriksaan doktor mendapati kanak-kanak malang itu dipercayai mati kerana pendarahan di bahagian otak akibat kejadian tersebut ketika dijaga oleh pengasuhnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, mangsa yang merupakan anak tunggal itu dihantar pengasuhnya ke sebuah klinik selepas dilihat tidak sihat dan sukar bernafas.
Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke HRPB dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital tersebut.
“Siasatan awal mendapati, kanak-kanak yang dijaga pengasuh berhampiran kediamannya di Taman Lapangan Melodi itu mengalami lebam di bahagian kepala selepas terkena meja semasa bermain.
“Kita akan menyiasat perkara ini daripada semua aspek dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Termizi berkata, polis telah merekod keterangan ibu bapa kanak-kanak itu bagi membantu siasatan manakala pengasuhnya pula akan dipanggil dalam masa terdekat.
Sementara itu, nenek mangsa yang ingin dikenali sebagai Napisah, 70, berkata, dia kesal apabila pengasuh yang baru sebulan menjaga cucunya tersebut langsung tidak pernah datang melawat untuk bertanyakan perkembangan kesihatan kanak-kanak berkenaan.
Katanya, mangsa yang sudah pandai berjalan selain baru belajar menyebut mama dan papa kali terakhir ditemui ketika mereka sekeluarga pulang ke kampung di Bachok, Kelantan, beberapa bulan lalu.
“Hiba melihatkan keadaan Khalish yang terbaring di wad. Bagaimanapun, lebih memilukan lagi apabila tiub bantuan pernafasan dibuka selepas doktor memberitahu dia tiada harapan lagi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPB di sini hari ini.-UTUSAN
Anakku pergi jua…
Selepas seminggu bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat mengalami kecederaan parah di kepala ketika dijaga pengasuhnya, seorang bayi lelaki berusia 18 bulan menghembuskan nafas terakhirnya, pagi semalam. Lebih menyayat hati, bayi malang yang baru pandai berjalan dan memanggil ‘papa’ serta ‘mama’ itu mengalami pendarahan dalam otak hingga mengakibatkan kepalanya membengkak.
Mangsa, Muhammad Khalish Hadif Kamarul Zaman Shah dimasukkan ke HRPB pada 1 Julai lalu selepas didapati sesak nafas ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di Dataran Rapat Baru.
Nenek mangsa yang ingin dikenali sebagai Napisah, 70, berkata, anak bongsunya, Azlina yang juga ibu kepada mangsa menghantar Muhammad Khalish ke rumah pengasuh sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon oleh pengasuh terbabit mengatakan mangsa sesak nafas dan dihantar ke klinik berhampiran.
“Pihak klinik kemudian bertindak menghantar cucu saya ke HRPB kerana terdapat pendarahan pada kepala mangsa dan sebaik sampai di hospital, ibu mangsa yang bertugas sebagai Ketua Jururawat Unit Rawatan Rapi (HRPB) mendapati Muhammad Khalish tidak sedar diri.
“Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat darah beku dalam otak mangsa dan pembedahan segera dilakukan, namun selepas seminggu dirawat di hospital, cucu saya itu disahkan sudah meninggal dunia dan bantuan pernafasannya dicabut,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, di sini, semalam. -harian metro
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment