BUTTERWORTH – Seorang lelaki rakyat Myanmar ditemui mati dengan kesan tikaman dan tangan kanan terputus di belakang sebuah rumah di Jalan Baru, Perai di sini awal hari ini.
Mayat Aung Khin, 46, ditemui oleh seorang penduduk yang melalui kawasan berkenaan pada jam 1.10 pagi.
“Pergelangan tangan kanan mangsa terputus dipercayai ditetak dan terdapat satu kesan tikaman di belakang badan lelaki itu,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya lelaki itu diseret setelah ditikam kerana terdapat kesan seretan darah kira-kira 10 meter.
Rusli berkata polis menjumpai dua bilah pisau rambo, satu besi tajam berbentuk segi tiga tirus dan dua telefon bimbit tidak jauh dari mayat lelaki itu.
“Polis turut menemui sebilah parang panjang dengan kesan darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan dibuang di kawasan semak iaitu 50 meter dari tempat mayat ditemui,” katanya.
Beliau berkata dua penghuni rumah itu yang juga lelaki rakyat Myanmar, memberitahu mereka mendengar bunyi bising di luar rumah dan hanya menyedari terdapat mayat selepas polis berada di kawasan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membatu siasatan, katanya. – BERNAMA




{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment