NUSAJAYA – Sejumlah RM534.73 juta dari Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) telah diagihkan kepada semua agensi pelaksana untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Johor pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, jumlah tersebut adalah daripada baki sebanyak RM538.87 juta di dalam akaun berkenaan sehingga 30 April tahun ini.
“Kerja-kerja penyelenggaraan tersebut perlu diselesaikan sebelum bulan November 2014,” katanya semasa menjawab soalan lisan Jimmy Puah Wee Tse (PKR-Bukit Batu) di persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini, hari ini.
Puah bertanya mengapa terdapat begitu banyak baki di dalam akaun yang sepatutnya disalurkan untuk penyelenggaraan jalan raya di negeri itu.
Hasni berkata baki di dalam akaun tersebut tidak dapat digunakan sepenuhnya kerana terdapat agensi pelaksana yang lewat melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan.
“Tindakan bagi mengurangkan baki Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Marris akan terus diambil dengan mengagihkan peruntukkan kepada semua agensi pelaksana pada awal tahun bagi membolehkan kerja-kerja siap dilaksanakan dan pembayaran dapat dibuat dalam tahun yang sama,” katanya.
Selain itu katanya, pihak agensi pelaksana telah diberikan tempoh penyiapan kerja dan penyerahan tuntutan bayaran selewat-lewatnya pada akhir November tahun ini dan dengan itu, tiada lagi peruntukkan yang diberi tidak dibelanjakan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Adam Sumiru (BN-Tanjung Puteri), beliau berkata tidak timbul baki peruntukkan yang dibawa ke tahun yang berikutnya tidak digunakan kerana baki di dalam tabung amanah itu akan digunakan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Penerangan Johor Md Jais Sarday berkata, kerajaan negeri sedang merangka dasar baru dalam pembangunan hartanah untuk menambah bangunan-bangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di seluruh negeri bagi merancak dan memperkukuh prestasi pengusaha.
Menjawab soalan Datin Azizah Zakaria (BN-Parit Raja), Md Jais berkata dasar itu perlu bagi membantu pengusaha PKS di kawasan bandar kecil dan pinggir bandar untuk lebih berjaya dalam meningkatkan produktiviti serta perkhidmatan, memastikan mereka memperoleh sijil halal dan pengiktirafan Amalan Pengeluaran Baik.
Sehingga kini, jumlah pengusaha PKS di negeri ini adalah sebanyak 68,874 dan merupakan ketiga tertinggi selepas Selangor dan Kuala Lumpur.
“Menyedari kepentingan sumbangan PKS ini, kerajaan negeri akan terus komited untuk meningkatkan jualan serta mutu produk PKS di negeri ini supaya bukan sahaja mampu menembusi pasaran domestik yang lebih luas bahkan di pasaran global,” katanya.
Sumber: Bernama




{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment