LONDON – Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers memilih Manchester City sebagai bakal juara Liga Perdana Inggeris musim ini selepas mengakui, harapan pasukannya hampir terkubur ekoran seri 3-3 dengan Crystal Palace di Selhurst Park, semalam.
Dalam perlawanan semalam, Reds bermula garang apabila mendahului 3-0, namun kesilapan benteng pertahanan membolehkan lawan meledak tiga gol dalam tempoh 11 minit terakhir permainan.
Liverpool pada awalnya tampak selesa untuk memberi tekanan kepada City selepas memperoleh gol menerusi Joe Allen, Daniel Sturridge dan Luis Suarez, namun dua jaringan pemain gantian, Dwight Gayle serta gol daripada Damien Delaney pada minit ke-79 menggamatkan ribuan penyokong tuan rumah.
Kemenangan 3-2 yang dilakar City ke atas Everton pada Sabtu lalu meletakkan mereka di landasan untuk merampas kejuaraan liga dan kegagalan Liverpool mengutip tiga mata penuh ke atas Palace menguatkan lagi peluang kelab The Citizens itu.
“Kami perlu menang malam ini.
“Manchester City ada dua perlawanan di tempat sendiri dan kami kena menang untuk terus memberi tekanan.
“Saya rasa City akan pergi (menang). Mereka akan menang kedua-dua perlawanan dan muncul juara.
“Namun bagi kami, saya percaya apa yang kami capai sehingga kini sangat luar biasa. Tumpuan kami adalah untuk terus membentuk pasukan,” kata Rodgers ketika dipetik oleh akhbar Daily Mail.
Liverpool sebelum ini menjadi pilihan untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana pertama mereka dalam tempoh 24 tahun selepas menumpaskan City 3-2 di Anfield pada 13 April lalu.
Namun kekalahan 0-2 kepada Chelsea di tempat sendiri pada 27 April lalu menyempitkan peluang mereka, sebelum dikejutkan pula oleh Crystal Palace dengan keputusan seri.
Biarpun mengakui peluang pasukannya amat tipis, Rodgers tetap memuji aksi yang dipertontonkan anak-anak buahnya sepanjang musim ini, terutama dalam perlawanan semalam.
“Dalam 78 minit kami telah mempamerkan permainan yang menarik kerana mampu mendapatkan apa yang kami mahukan.
“Kami hilang tumpuan di bahagian pertahanan hingga menyebabkan pasukan kecewa selepas bekerja keras untuk mendahului kedudukan 3-0.
“Bagi kami penting kini adalah terus meningkat naik bagi membolehkan pasukan bangga dengan pencapaian yang ada dan bagi saya musim ini prestasi kami adalah yang terbaik,” kata Rodgers.
Liverpool akan menentang Newcastle United dalam perlawanan terakhir liga di Anfield pada Ahad ini, manakala City menerima kunjungan West Ham di Stadium Etihad. – AGENSI
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment