KUALA LUMPUR – Kempen Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden Indonesia yang akan menentukan pemimpin Indonesia bagi pengggal 2014-2019 pada Rabu ini turut diikuti dengan penuh minat oleh warga Indonesia di sini.
Rata-rata warga Indonesia yang ditemui Bernama mengikuti perkembangan politik tanah air mereka melalui media massa dan laman sosial.
Mereka juga mengenali calon-calon Pemilu iaitu Prabowo Subianto bersama pasangannya Hatta Rajasa daripada Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dan Joko Widodo (Jokowi) bersama Jusuf Kalla daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).
Menurut Kepala Sekolah (Guru Besar) Sekolah Indonesia Kuala Lumpur Banjir Sihite, 50, beliau turut mengikuti perkembangan Pemilu melalui surat khabar harian Indonesia yang dilanggannya setiap hari.
“Apa yang saya perhatikan, kedua-dua calon begitu dekat di hati rakyat. Melihat mereka turun padang menemui penduduk sehingga ke kampung-kampung semasa berkempen, jelas menunjukkan kesungguhan mereka untuk membela nasib rakyat Indonesia,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Banjir yang enggan mendedahkan siapa calon pilihannya berasa teruja kerana esok merupakan kali pertama beliau mengundi awal, di sekolahnya, memandangkan baru menetap di Malaysia selama dua tahun.
Warga Indonesia yang menetap di negara ini bakal mengundi dalam Pemilu Presiden Indonesia, di Sekolah Indonesia Kuala Lumpur dan di Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini, bermula 8 pagi hingga 6 petang, esok, lebih awal daripada pengundian di Indonesia.
Pemilu Presiden penggal 2014-2019 akan berlangsung pada Rabu ini dan ia merupakan Pemilu ke-11 sejak Republik Indonesia mencapai kemerdekaan.
Sementara itu, Ketua Panitia Pemilihan Luar Negeri (PPLN), Perwakilan Republik Indonesia di Kuala Lumpur Tengku Adnan Tengku Azlan berkata warga Indonesia di sini berpeluang menyaksikan tayangan Debat Pemilu antara calon presiden pada 22 Jun lepas melalui paparan skrin yang disediakan pihak konsulat.
“Ini menggambarkan warga Indonesia di sini tidak sesekali dilupakan dan berpeluang untuk lebih mengenali calon-calonnya,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Adnan yang telah 12 tahun menetap di Malaysia berpendapat kedua-dua calon presiden itu bakal menghadapi saingan sengit dalam Pemilu kali ini memandangkan kedua-duanya mempunyai pengikut yang ramai.
Tambahnya, Jokowi mempunyai pengikut yang ramai daripada golongan bawah dan pertengahan manakala Prabowo lebih mempunyai pengikut daripada golongan atasan.
Bagi pelajar tahun pertama jurusan Ijazah Kejuruteraan Petroleum Universiti UCSI Achmad Fawzy Faridin, 19, walaupun berada jauh dari tanah air, dia tetap menunaikan kewajipannya sebagai rakyat Indonesia dengan turun mengundi di Kedutaan Indonesia, di sini esok.
Katanya, sepanjang tempoh berkempen, dia mengikuti perkembangan calon-calon yang bertanding melalui laman sosial dan saluran televisyen Indonesia yang dapat ditonton secara online.
Achmad Fawzy menyatakan harapannya terhadap Presiden Indonesia baharu nanti supaya dapat meningkatkan peluang keterbukaan dalam pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.
Selain itu, rakannya Chaidir Syahid Kamaluddin, 21, berharap agar presiden baharu dapat mewujudkan sebuah klinik kesihatan khusus untuk warga Indonesia yang menetap di Malaysia.
Bagi buruh binaan Herianto, 32, yang berasal dari Jawa Timur berharap presiden baharu nanti dapat memenuhi harapan rakyat seperti mengimbangi antara gaji pekerja di sana dengan harga barangan.
“Dengan itu nasib keluarga saya di sana terutama dua anak saya akan lebih terbela,” katanya. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment