Dua pakar undang-undang kewartawanan Indonesia mengecam Bernama selepas akhbar Jakarta Globe mendedahkan agensi berita nasional itu memuat naik dua artikel "ayat demi ayat" dan memadam nama penulis asalnya.
"Mereka tukar nama wartawan (Globe)," kata Hikmahanto Juwana, pakar antarabangsa undang-undang dari Universiti of Indonesia, berkata kepada Jakarta Globe, yang mendakwa dua laporan mereka berkenaan kempen pilihan raya di Indonesia diplagiat.
"Mungkin wartawan (Bernama) sudah habis berita, sebab itu ambil berita (Globe)," kata Hikmahanto.
Akhbar itu berkata, artikel yang dimuat naik Bernama "perkataan demi perkataan" dan nama penulis asalnya diganti dengan Elmi Rizal Alias, yang dipercayai wartawan Bernama.
Akhbar berkenaan berkata, dua artikel, yang diterbitkan pada 1 dan 5 Julai dengan tajuk artikel asal "Hatta Says Indonesia Should Take Advantage of its Demographic Bonus", dan “In Closing Debate, Joko Promises Bureaucratic Breakthrough, While Prabowo Strives for A Dignified Nation”.
Kedua-dua artikel berkenaan, kata akhbar tersebut ditukar tajuk oleh Bernama kepada, "Indonesia Should Take Advantage of its Demographic Bonus — Hatta", dan "Joko Promises Bureaucratic Breakthrough, while Prabowo Strives for a Dignified Nation".
Anggota Majlis Akhbar Indonesia berkata, tindakan itu "amat serius melanggar etika kewartawanan" dan wartawan Bernama itu bertanggungjawab kerana melakukan plagiat.
"Bagi kes seperti ini, jika pihak yang terkesan tidak memfailkan laporan polis, pihak polis masih boleh mengambil tindakan," kata Jakarta Globe, memetik Wina Armanda, yang merupakan pakar undang-undang akhbar dari Universiti of Indonesia.
"Jika benar (wartawan Bernama) plagiat (artikel Jakarta Globe), menurut undang-undang Indonesia, wartawan Malaysia itu boleh (didakwa) dan dipenjarakan," katanya.
Dalam akhbar edisi online, Jakarta Globe turut memuat naik gambar laporan asal termasuk juga laporan Bernama dan menunjukkan persamaan.
Sementara itu, pegawai dari Indonesia berkata, Bernama harus dibawa ke mahkamah berhubung perkara itu.
"Tindakan undang-undang harus diambil terhadap wakil mereka di Indonesia," kata Ruhut Sitompul, pengamal undang-undang dan anggota Suruhanjaya Hal Ehwal Undang-undang di Dewan Indonesia, lapor akhbar berkenaan. – 7 Julai, 2014.\
Sumber: The Malaysian Insider




{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment