KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman hari ini berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kekal dengan sembilan anggota yang ada sekarang.
Beliau berkata ketika ini, tidak ada keperluan untuk membuat rombakan Exco sebab apa yang ada sekarang berjalan dengan baik.
“Setakat ini tidak ada pertambahan Exco. Kita tidak bercadang untuk buat perubahan terhadap Exco yang ada sekarang kerana ia tidak ada keperluan ketika ini.
“Kalau adapun perubahan, mungkin tambahan portfolio yang akan berlaku kepada Anggota Exco yang lain,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pertama selepas dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu pada 12 Mei lepas.
Ahmad Razif berkata beliau akan mengekalkan portfolio yang disandangnya sebelum ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Negeri.
Selain itu, beliau memangku portfolio bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan; Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan; Jawatankuasa Tanah, Petroleum, Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Sementara itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan mengkaji kadar cukai pintu berasaskan keperluan dan kebajikan kepada rakyat setelah kadar itu tidak berubah sejak 1981.
“Kita akan lihat semula di mana beberapa pilihan yang akan diambil, tetapi tidaklah sampai kenaikan sehingga 600 peratus.
“Perkara itu hanya diperbesarkan oleh pihak pembangkang sedangkan kerajaan belum membuat keputusan mengenai perkara itu,” katanya.
Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga akan melihat makluman balas pihak lain sebelum membuat pertimbangan terbaik mengenai perkara itu.
Sumber: Bernama




{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment