Pages

kezamx. Powered by Blogger.

Seksi Anzalna ada batasan

Posted by kezamx on Saturday, 3 May 2014

MOLEK budi bahasanya sewaktu meminta kelonggaran agar gambar-gambar yang keterlaluan menampakkan paha gebunya tidak diterbitkan. Sedar ada sensitiviti yang perlu dijaga, permintaan Anzalna Nasir itu tidak sukar untuk diturutkan.

Sementelah, rona merah dan krim yang dipadankan sebagai busana fotografinya kali ini sudah cukup untuk menyerlahkan penampilan selebriti berusia 26 tahun itu.

“Saya cuma mahu menjaga hati. Mahu lebih berhati-hati. Saya minta maaf kerana tidak dapat menggayakannya seperti model-model di pentas peragaan.

“Sampai ke tahap ini, rasanya saya kena menjadi seorang yang peka dengan perasaan orang lain terutama ibu bapa saya,” tertib butir penjelasan Anzalna sambil memuji busana yang disediakan pereka fesyen terkenal, Hazree Wahid untuk fotografi tempoh hari.


Minta diperincikan lagi simpulan kata menjaga hati tadi, Anzalna tidak bersetuju jika pendiriannya itu dikatakan berpunca daripada larangan sang kekasih, Hanif Zaki.

“Hanif belum jadi suami saya, hormat saya terhadapnya masih lagi dalam acuan teman lelaki dan teman wanita. Lainlah kalau dia suami saya.

“Saya sebenarnya menjadi semakin terkesan dengan pesanan daripada ibu bapa saya yang sekarang tinggal di London. Sebelum ini, semasa tinggal bersama, saya tak berapa nak endah sangat apa yang ibu bebelkan, tapi bila berjauhan, saya semakin faham.

“Saya mudah rasa bersalah bila tak pedulikan pesanan ibu. Saya juga takut menyesal pada kemudian hari, kalau terjadi apa-apa yang tak diingini.

“Lagipun sebagai anak, hidup akan dirahmati selagi pesanan ibu bapa jadi panduan,” panjang lebar cerita anak kedua daripada lima beradik ini.

Akur dengan permintaan ibu bapa, Anzalna hanya mengikut kata hati. Walaupun tidak bertudung, tidak bermakna dia boleh mendedahkan segala-galanya tanpa sekatan.

ANZALNA NASIR mahu hiasi peribadi agar tidak menimbulkan perasaan kurang senang ibu bapanya yang berada jauh di London.

“Saya memang suka pakai dres ketat tapi asalkan masih di bawah paras lutut saya okey, lebih atas daripada paras itu, saya mula rasa seksi, tidak selesa dan hilang keyakinan diri,” luahnya mengenai pilihan dalam berpenampilan.

Lenggok dan bicara Anzalna masih seperti dahulu, masih manja dan tidak sah jika tidak diakhiri dengan ketawa. Awal mengenalinya sewaktu baru memasuki tahun pertama bergelar artis, perjalanan yang dilaluinya sudah memasuki tahun keempat.

Cuba mengenali lebih dekat personaliti anak kelahiran Tasik Gelugor, Pulau Pinang ini, sengaja karakternya yang lemah-lembut itu dikaitkan dengan kemampuan dalam bidang lakonan.

Kata Anzalna, dia masih menyimpan impak drama bersiri Adam & Hawa. Watak penggoda itu seperti satu pencapaian yang belum dapat diatasi. Untuk pergi lebih jauh, dia harus mencari watak yang boleh menyerlahkan lakonannya.

“Misi saya, selain bekerja untuk cari duit, saya mahu lakonan saya diingati. Seringkali saya diberi watak baik sebab watak begitu yang selalunya jadi watak utama.

“Saya juga suka watak antagonis sebab boleh beri banyak ekspresi. Saya nampak lembut, tapi, kalau diberi pilihan, saya mahu watak-watak yang lasak, tegas dan menuntut tenaga dalaman macam watak psiko atau kurang upaya.


“Risau juga peminat bosan dengan watak baik dan kontrol ayu sahaja,” kata peminat sukan lasak seperti memanjat tebing tinggi ini.

Selama menjalani karier lakonan bermula dari pentas pencarian bakat Dewi Remaja 2010, pemilik nama Nur Anzalna Md. Nasir juga sudah mengumpul secebis pengalaman yang cukup bermanfaat untuk hari muka.

“Rasanya selama empat tahun ini, sudah agak banyak pengalaman yang mematangkan saya. Tempoh ini juga mendewasakan saya.

“Sebelum memasuki bidang seni, saya seorang yang pemalu dan susah nak bergaul dengan orang. Sekarang, walaupun orang kata saya lembik, nampak lembut, tapi apa sahaja perkara yang berlalu, saya boleh hadapi sendiri.

TIDAK mengamalkan sikap tertutup dalam soal hati, Anzalna mengakui mahu bernikah dengan kekasihnya, seorang jejaka bernama Hanif Zaki sekitar tahun depan.

“Katakan saja apa gosip mengenai saya, saya tidak cepat melatah. Saya boleh berfikir dahulu dan barulah beri respons. Tapi jika tuduhan itu menjatuhkan maruah saya, saya akan bersuara.

“Saya akan bersuara jika saya tidak bersalah. Macam mana pun saya harus jelaskan, apa juga kecaman itu saya tak akan lari, saya akan jawab kalau wartawan tanya.


“Saya selalu anggap wartawan macam kawan. Mereka buat kerja mereka saya buat kerja saya. Jadi setiap masalah akan dapat diselesaikan dengan baik,” jelas Anzalna yang baru-baru ini dipanaskan dengan isu perang dingin bersama pelakon Izzue Islam di lokasi drama Aku Isterinya.

Tambahnya: “Dalam soal itu, bukan saya mahu memuji sesiapa, tapi hubungan saya dengan Hanif banyak menyelamatkan saya daripada gosip yang lebih teruk.”

Seperti yang telah diketahui ramai, Anzalna yang sudah dimiliki hatinya itu tidak mahu menunggu lama untuk mengakhiri zaman bujang.

Perancangan untuk berkahwin sekitar tahun depan juga sudah kerap kali dikongsikan dengan peminat.

“Perancangan memang ada, keluarga saya dan Hanif juga tahu keseriusan kami. Harap perancangan kami berjalan lancar,” katanya.

Seperkara lagi tentang Anzalna yang boleh dipuji, dia tidak gemar berkongsi gambar-gambar kemesraannya dengan Hanif walaupun kisah cinta mereka disenangi ramai.

“Sebenarnya Hanif yang menjaga perkara-perkara begitu. Kalau sudah keluar bersama tak perlu nak tayang gambar lebih-lebih, nanti orang muak. Dia banyak jaga saya terutama selepas saya berjauhan dengan ibu bapa,” ujar Anzalna.

Ditanya apa kritikan sang kekasih yang paling mengesankan tentang lakonannya setakat ini, kata Anzalna, Hanif cuma memuji watak air mata yang dijayakannya.

“Hanif tahu saya jenis yang susah nak menangis, jadi dia terkejut bila tengok saya boleh menangis dengan cemerlang depan kamera. Mesti dia takut, nanti saya akan pura-pura menangis depannya pula,” mengekek lagi ketawa Anzalna mengakhiri ceritanya. – Kosmo

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Ping your blog, website, or RSS feed for Free Free Auto Malaysia Backlinks Kedai Backlink,Backlink Percuma My Ping in TotalPing.com Ping your blog, website, or RSS feed for Free ping fast  my blog, website, or RSS feed for Free Ping your blog, website, or RSS feed for Free ping fast  my blog, website, or RSS feed for Free