JEDDAH – Malaysia dan Arab Saudi secara dasarnya bersetuj uuntuk meningkatkan pertukaran program-program televisyen berbentuk keislaman untuk disiarkan di kedua-dua buah negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Arab Saudi mempunyai banyak program televisyen berbentuk keagamaan yang sesuai disiarkan di Malaysia.
Ahmad Shabery berkata, beliau percaya program-program berbentuk keislaman itu akan mendapat sambutan di Malaysia dan lebih baik lagi jika ia dapat disiarkan secara langsung.
“Kita juga banyak menghasilkan program-program yang baik, dan saya percaya ia akan mendapat sambutan jika disiarkan di negara-negara Arab,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan bersama Menteri Kebudayaan dan Informasi Arab Saudi, Dr Abdul Aziz Muhiuddin Khoja di sini, hari ini.
Ahmad Shabery kini berada di Jeddah bagi menyertai Sidang Kemuncak Media Asia 2014 (AMS2014) anjuran Institut Pembangunan Penyiaran Asia-Pasifik (AIBD).
AMS 2014 disertai lebih 500 pakar-pakar media dari negara-negara Asia Pasifik, Eropah dan juga negara-negara Arab. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment