HUDUD tidak boleh dilaksanakan di sesebuah negara jika masih ada golongan yang tidak boleh dibawa ke mahkamah, kata bekas Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Asri berkata, hukuman yang dikenakan terhadap pesalah seharusnya tidak mengenal pangkat, sebaliknya keadilan tanpa mengira pangkat dan darjat.
“Dalam satu masyarakat jika masih ada golongan yang tidak boleh dibawa ke mahkamah maka hudud tidak boleh dilaksanakan.
“Jangan ada mahkamah khusus. Biar satu mahkamah adili raja, sultan, rakyat. Jangan curi kayu kena, curi kayu balak tidak kena,” katanya ketika menjadi ahli panel wacana Sinar Harian di Auditorium Karangkraf di Shah Alam.
Katanya, isu pungutan dan pengurusan zakat dan perkara lain perlu diuruskan dahulu sebelum cuba melaksanakan hudud.
“Kita ada lebih RM1 billion wang zakat. Hudud penting tetapi nas (bukti) zakat lagi banyak dari hudud di dalam Al-Quran. Kalau kita kemaskan dulu hal zakat ini tak akan ada alasan orang mencuri
“Zaman Khalifah Umar Abdul Aziz dulu tak jumpa orang layak terima zakat tapi sekarang isi borang mintak zakat tak dapat-dapat,” katanya.
Dr Asri berkata beliau percaya umat Islam sememangnya menyokong Kelantan untuk melaksanakan hudud namun perkara itu perlu diperhalusi agar tidak menjadi mudarat.
“Sebagai Muslim kita percaya undang-undang ini jika diberi mencapai maksud keadilan membawa kepada kebaikan manusia sejagat.
“Sebagai orang Islam kita perlu dukung hasrat Kelantan. Tetapi kita kena bincang bagaimana ia tidak menjadi mudarat,” katanya lagi.
Tokoh agama itu juga berkata, sebelum melaksanakan hudud, dasar yang bersih dari rasuah dan jenayah harus dibina terlebih dahulu demi keselamatan awam.
“Dalam masyarakat antara isu yang besar ialah rasuah mereka yang laksanakan hukuman termasuk polis hendaklah bersih,” jelas beliau.
Selain Asri, ahli panel lain dalam wacana tersebut termasuklah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia Dr Mushaddad Hasbullah.
Mohd Amar dalam hujahnya, mempertahankan keputusan kerajaan Kelantan yang mahu melaksanakan hukum hudud di negeri tersebut.
Hujah beliau hukum hudud di yang mahu dilaksanakan negeri tersebut memberi keadilan kerana hanya dikuatkuasa ke atas orang Islam.
Namun, beliau mengakui terdapat beberapa kekurangan dalam enakmen hudud negeri tersebut yang memerlukan penambahbaikan.
“Kita di Kelantan, semenjak kita luluskan pada tahun 1993, kita membuat semakan balik kepada enakmen tersebut
“Memang ada peruntukan-peruntukan yang boleh mengelirukan seperti hasil daripada respons masyarakat,” katanya.
Mohd Amar juga menafikan PAS mempunyai agenda tersembunyi apabila menggunakan UMNO untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat.
“Bila Umno nyata pendirian, kita ambil peluang yang ada. Kita tiada agenda tersembunyi,” katanya lagi. – Awani
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment