BUTTERWORTH – Kementerian Sumber Manusia akan terus membuat pemantauan bagi mengenal pasti majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2012 sejak penguatkuasaan dasar itu sepenuhnya awal tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, buat masa ini pihaknya mengambil pendekatan berkrompomi termasuk melihat permasalahan dihadapi majikan dalam melaksanakan dasar itu.
“Kementerian bagi setiap peringkat jabatan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa…banyak (syarikat) yang sudah laksana sebenarnya dan kami juga masih beri peluang untuk mereka menstruktur semula operasi supaya sesuai dengan dasar itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Hasil Kajian ‘Study On Implementing Productivity-Linked Wage System’ (PLWS) anjuran Jabatan Perhubungan Perusahaan di sini, hari ini.
Tambah Ismail, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) juga sedang dalam proses menilai pelaksanaan dasar itu dengan mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak dan hasilnya dijangka dapat dibentangkan Ogos ini.
Majikan dan pemain industri juga boleh mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada urus setia MPGN sebelum 31 Mei ini, katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta pekerja yang mempunyai aduan atau tidak berpuas hati dengan majikan mereka berhubung pematuhan dasar berkenaan supaya membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja berdekatan untuk tindakan lanjut.
Mengulas rayuan Persatuan Pekilang Tekstil Malaysia yang meminta pengecualian dasar gaji minimum kepada pekerja asing baru-baru ini, Ismail berkata, ia tidak boleh dilakukan kerana kerajaan terikat dengan perjanjian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ismail berkata sehingga 2013, sejumlah 76,023 syarikat telah melaksanakan PLWS melibatkan 3.02 juta pekerja di seluruh negara sejak ia diperkenalkan pada Ogos 1996.
Sektor perkhidmatan merekod jumlah paling tinggi iaitu 56,595 syarikat diikuti pembuatan 9,861, pembinaan (5,165), pertanian (3,774) dan sektor lain-lain sebanyak 628 syarikat.
PLWS adalah garis panduan pembaharuan gaji bertujuan meningkatkan produktiviti syarikat dan pendapatan pekerja seterusnya memperkukuh daya saing ke arah status negara maju 2020, katanya.
Sumber: Bernama




{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment