KLUANG - Pemuda Umno Bahagian Kluang membuat laporan polis berikutan
tindakan individu tidak bertanggungjawab dalam laman sosial Facebook
menghina kesultanan Johor.
Ketuanya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, tindakan pemilik laman
sosial berkenaan dianggap terlalu melampau sehingga sanggup mengutuk
institusi kesultanan Johor.
Beliau berkata, sebagai anak Johor, pergerakannya mengutuk tindakan khianat pemilik laman sosial berkenaan.
“Tindakan yang dilemparkan biadab sehingga boleh memperkotak-katikkan
institusi kesultanan Johor dan sewajarnya ianya tidak berlaku walaupun
laman sosial Facebook bebas mengutarakan pandangan, maklumat serta
pendapat.
“Setiap yang diletakkan dalam laman sosial berkenaan menyebabkan rakyat
di negeri ini berasa marah dan tidak puas hati dengan tindakan individu
berkenaan.
“Pemilik Facebook berkenaan perlu bertanggungjawab terhadap semua hasil
penulisan yang disebarkan di dalam Facebooknya,” katanya kepada Sinar
Harian, semalam.
Khairul Anwar yang juga Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam)
mendesak agar pihak polis dan kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas
berhubung isu menghina institusi kesultanan berkenaan.
Beliau berharap kejadian itu tidak akan berulang dan tidak menolak
kemungkinan perkara yang sama pernah dilakukan individu terbabit
terhadap institusi kesultanan negeri lain.
“Pemilik akaun Facebook dinasihatkan agar tidak memuat turun atau
menulis sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan orang lain terutama
kepada pemerintah dan institusi kesultanan.
“Diharap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dapat
mengenal pasti pemilik akaun berkenaan, selain melakukan pantauan
terhadap blog dan sebagainya yang memaparkan kutukan serta kritikan
terhadap institusi raja atau sebagainya,” katanya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment