GLASGOW – Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong memuji pencapaian skuad badminton yang menyumbang separuh daripada jumlah pingat emas dimenangi kontinjen negara di Sukan Komanwel Glasgow.
Zolkples berkata, kemampuan kem badminton memenangi tiga pingat emas dan menyamai sasaran ditetapkan sekalipun tanpa kelibat pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei wajar diberi pujian.
“Mereka terpaksa bekerja dengan amat keras untuk memenangi emas. Gandingan beregu wanita terutamanya berjaya meningkatkan permainan mereka untuk menewaskan pasangan India yang jelas lebih berpengalaman dan konsisten,” katanya.
Begitupun, Zolklpes turut mengakui kurang berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan beberapa pemain senior dalam skuad terbabit.
“Pasukan jelas terjejas dengan ketiadaan Lee Chong Wei kerana dia pemain yang amat berpengaruh namun saya kecewa dengan persembahan yang ditampilkan pemain-pemain senior.
“Saya sudah berbincang dengan presiden BAM (Persatuan Badminton Malaysia) supaya mengatasi isu ini sebelum ke Incheon, Korea Selatan bagi menghadapi Sukan Asia bulan depan.”
Selepas 11 hari kejohanan berlangsung, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-12 keseluruhan daripada 71 negara bertanding dengan memenangi 6 emas, 7 perak dan 6 gangsa.
Begitupun, pencapaian itu gagal menyamai sasaran awal yang ditetapkan sebelum ini iaitu tujuh emas.
Mengulas kegagalan itu, Zolkples mengakui tidak gembira dengan pencapaian beberapa jenis sukan yang tidak memenuhi jangkaan sepatutnya seperti boling padang dan menembak.
“Kita sudah menyediakan sejumlah wang yang besar untuk mereka sebagai persediaan untuk Sukan Komanwel dan mereka sepatutnya menyumbang pingat emas kerana kita memiliki atlet senior yang berpengalaman dan sudah bertanding dalam banyak kejohanan besar sebelum ini,” katanya. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment